PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhi enam lelaki hukuman gantung atas sabitan kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais, sembilan tahun lalu.

Mereka selaku perayu pertama hingga keenam itu ialah bekas pakar patologi, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 61; pemberi pinjaman wang, S Ravi Chanran, 53, dan empat penganggur, R Dinishwaran, 32; A K Thinesh Kumar, 31; M Vishwanath, 34 serta S Nimalan, 31.

Keputusan secara sebulat suara itu diputuskan panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin.

Keenam-enam lelaki itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Julai 2020 yang mensabitkan dan menjatuhi mereka hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh Kevin.

Mereka dituduh membunuh timbalan pendakwa raya itu ketika dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya ke Nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya antara jam 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. - Sinar Harian