KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berpandangan bahawa hukuman yang dijatuhkan kepada pesalah laku rasuah perlu disemak semula.

Ini kerana, beliau melihat, ada sesetengah kes di mana hukuman terhadap koruptor itu lebih ringan daripada mereka yang didapati bersalah melakukan jenayah kecil.

“Ada sabitan kes yang dilakukan oleh orang miskin yang curi duit masjid atau sebagainya, hukumannya begitu berat sekali.

“Tapi jika kita bandingkan dengan kes-kes rasuah yang melibatkan juta-juta ringgit ini selalunya dipenjara hanya satu hari.”

Kata Akhbar, kemungkinan besar ini disebabkan oleh dua fakta. Pertamanya, mungkin hakim itu ibaratkan kes rasuah merupakan satu masalah sosial.

Keduanya, ia melihat kepada undang-undang itu sendiri. Akta (575) Pencegahan Rasuah 1997 memperuntukkan mereka yang disabit kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada 14 hari dan tidak lebih daripada 20 tahun.

Namun Akta (694) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang diguna pakai hari ini menetapkan mereka yang didapati bersalah berdepan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun, bermakna tiada tempoh minimum.

Akhbar turut mengatakan bahawa orang kebanyakan tidak dapat mempertahankan dirinya dengan lebih baik di mahkamah kerana tidak mampu untuk membayar kos guaman yang tinggi.

Berbeza dengan pelaku rasuah yang lazimnya orang kaya, mereka boleh mengupah peguam-peguam hebat malah ada yang didatangkan dari luar negara untuk cuba memenangi kes pendakwaan mereka.

“Penjenayah kolar putih ini mereka takut untuk masuk penjara, ada sesetengah daripada masyarakat itu berfahaman bahawa ia merupakan satu bala lah masuk penjara.”

“Jadi itu patut kita pertimbangkan kembali.”

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar pada Selasa. Tonton di sini:


Hukuman terhadap pesalah laku rasuah perlu dilihat semula - Akhbar Satar


Agenda AWANI: #RasuahBusters | Perlu jawatankuasa bebas pengaruh politik