KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak perlu segera dihukum kerana enggan menjelaskan kenyataannya bahawa hutang 1Malaysia Developmen Berhad (1MDB)  tidak dibayar dengan dana awam, di Dewan Rakyat pada Rabu, desak Lim Guan Eng.

Setiausaha Agung DAP itu, menegaskan Ahli Parlimen Pekan itu perlu dihukum dengan penggantungan daripada Parlimen jika masih bersikap degil.

“Najib jelas menghina Parlimen apabila beliau berkata hanya akan menjelaskan kepada Dewan Rakyat mengenai hutang 1MDB tidak dibayar menggunakan wang pembayar cukai selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selesai.

“Ia jelas bahawa Najib lebih mementingkan berkempen dalam PRN Johor daripada menghormati ketinggian Parlimen dan membuat kenyataan yang benar sebagai Ahli Parlimen.

“Dengan memilih untuk mengingkari arahan Speaker, beliau telah melanggar Peraturan Mesyuarat 43 Dewan Rakyat, di mana keputusan Speaker adalah muktamad mengenai pematuhan peraturan,” jelas Guan Eng dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata beliau telah menulis surat kepada Najib bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu dan memintanya berbuat demikian di Dewan Rakyat pada Rabu.

Bagaimanapun, pada Selasa, Najib dilapor berkata, akan memberi penjelasan seperti diminta selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selesai.

BACA: PRN Johor: Najib yakin gelombang 'Bossku' berjaya diterjemah 12 Mac ini 

BACA: Hutang 1MDB: Najib diminta beri penjelasan berhubung kenyataan dikata mengelirukan Dewan Rakyat 

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan itu, berkata dakwaan Najib di Dewan Rakyat bahawa tiada dana awam telah digunakan untuk membayar hutang 1MDB tidak mempunyai merit dan tidak berasas apabila disangkal secara terbuka oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Menurut Kementerian Kewangan, RM19.14 bilion telah diperoleh semula setakat ini dan dimasukkan ke dalam akaun amanah pemulihan aset, bukan RM23 bilion seperti yang didakwa Najib, yang masih kurang separuh daripada jumlah kerugian sebanyak RM52 bilion,” tambah Guan Eng