Skip to main content

Malaysia

Beban hutang kerajaan bertambah kerana kos faedah pembayaran hutang lama - PM Anwar

Bangi , 20 Julai 2026.Perdana Menteri , Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan berikutan Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara dengan Warga Perkhidmatan Awam Zon Tengah yang diadakan di Universiti Islam Selangor.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Anwar semasa berucap dalam sesi santai mesta bersama warga perkhidmatan awam zon tengah di Universiti Islam Selangor, pada Isnin. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peningkatan jumlah hutang kerajaan ketika ini sebahagian besarnya berpunca daripada kos faedah yang tinggi serta komitmen membayar hutang lama, termasuk berkaitan skandal 1MDB, dan bukannya disebabkan kerajaan berbelanja secara tidak berhemah.

Beliau berkata kerajaan sering digesa mengambil langkah yang lebih popular seperti menambah subsidi diesel dan petrol yang dianggarkan bernilai kira-kira RM40 bilion setahun, namun tidak mampu berbuat demikian kerana ia hanya akan meningkatkan beban hutang negara.

“Nak turunkan lagi (harga minyak dan diesel) boleh tapi siapa mahu bayar? Saya tidak mahu terus berhutang sehingga hutang kerajaan berlonggok,” katanya semasa berucap dalam sesi santai mesta bersama warga perkhidmatan awam zon tengah di Universiti Islam Selangor, pada Isnin.

Menurut Anwar, kerajaan sedang mengurangkan beban hutang yang diwarisi, namun jumlah keseluruhan hutang masih meningkat kerana pembayaran faedah serta komitmen melangsaikan pinjaman lama yang dibuat pada masa lalu.

"Realitinya, kita membayar hutang lama. 1MDB, kita yang membayar sekarang. Hendak nafikan bagaimana? Orang cakap saya suka ungkit kisah lama, tapi memang terpaksa ungkit sebab saya (kerajaan) yang kena bayar,” katanya.

Beliau berkata keadaan sama turut berlaku dalam usaha memulihkan FELDA yang menurutnya mengalami kesan akibat salah urus dan keputusan pelaburan yang merugikan pada masa lalu.

Anwar berkata kerajaan kini menanggung bayaran kira-kira RM918 juta setahun berkaitan komitmen kewangan FELDA.

"Siapa kata orang Melayu tidak pandai mengurus? Ramai tokoh penjawat awam yang baik dan komited pernah mengurus FELDA. Tetapi apabila berlaku salah guna kuasa dan campur tangan pihak tertentu, akhirnya kerajaan juga yang perlu membayar," katanya lagi.

Beliau menegaskan isu yang berlaku bukan berpunca daripada faktor kaum, sebaliknya kegagalan tadbir urus, penyalahgunaan kuasa dan rasuah oleh individu yang diberi amanah.

"Soal nilai itu penting, akhlak itu penting. Masalahnya bukan soal kaum, tetapi penyalahgunaan kuasa dan rasuah," jelasnya.

Anwar berkata walaupun terdapat segelintir penjawat awam yang bersubahat dalam salah laku, majoriti mereka berkhidmat dengan penuh integriti dan mahu melihat negara ditadbir secara cekap serta bebas daripada amalan yang menjejaskan imej negara.

"Mesej kita ialah kecekapan, akhlak dan pengurusan yang baik. Pengalaman saya menunjukkan ramai penjawat awam mahu negara ini selamat dan tidak mahu imejnya tercemar kerana pengkhianatan serta sifat tamak haloba segelintir pihak," katanya.

Must Watch Video

Advertisement