Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Hanifah sasar Bersatu jadi ‘kingmaker’, dakwa PH-BN tamak kuasa

Bersatu, Hanifah Baker, DUN Labu
Mohamad Hanifah (foto) mendakwa kegagalan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mencapai persefahaman politik menjadi punca pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum tempoh matang.
Advertisement

LABU: Calon Bersatu bagi DUN Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker menyasarkan parti itu muncul sebagai ‘kingmaker’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Ketua Pembangkang Negeri Sembilan itu mendakwa kegagalan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mencapai persefahaman politik menjadi punca pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum tempoh matang.

Menurut Mohamad Hanifah, Bersatu tidak bertanding sekadar menjadi pelengkap, sebaliknya yakin mampu mencipta kejutan sehingga berpeluang menentukan pembentukan kerajaan negeri.

“Saya yakin penggunaan logo Bersatu adalah satu tawaran baharu kepada pengundi Negeri Sembilan.

“Pembubaran DUN Negeri Sembilan ini disebabkan ketamakan kuasa serta kegagalan kedua-dua pihak daripada PH dan BN untuk berbincang secara harmoni, sedangkan di peringkat Persekutuan mereka adalah sebahagian blok kerajaan.

“Kegagalan pemimpin kedua-dua parti menyelesaikan isu ini menyebabkan pembubaran dan saya yakin pengundi sedar bahawa sama ada mereka mengundi PH ataupun BN tidak memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini, pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Hanifah turut mendakwa Pas mengkhianati Bersatu dalam isu kerjasama politik menjelang PRN, termasuk keputusan tidak mempertahankan kerusi penyandang Bersatu di DUN Labu.

Beliau mendakwa keputusan itu menunjukkan keretakan hubungan dalam Perikatan Nasional (PN) bukan berpunca daripada Bersatu.

“Pengkhianatan tidak pernah hadir daripada Bersatu. Bagi saya, pengkhianatan itu hadir daripada Pas sendiri.

“Terbukti apabila kerusi penyandang seperti DUN Labu tidak dikekalkan kepada Bersatu.

"Sebab itu saya katakan pengkhianatan bukan hadir daripada Bersatu, tetapi hadir daripada PN yang dipengerusikan oleh Pas,” katanya.

Mohamad Hanifah berkata Bersatu kini memilih untuk bergerak sendiri berasaskan prinsip parti dan yakin calon ditampilkan mampu menawarkan kepimpinan yang mengutamakan kepentingan rakyat.

Sebelum ini, BN mengumumkan satu persefahaman dengan hanya bertanding 25 kerusi DUN sebagai isyarat memberi laluan kepada blok pembangkang, Perikatan Nasional menyertai PRN Negeri Sembilan menerusi baki 11 kerusi.

DUN Labu menyaksikan persaingan tiga penjuru, Mohamad Hanifah berdepan dua pencabar terdiri daripada calon Pakatan Harapan iaitu Datuk Ahmad Faez Abdul Razak dan calon Barisan Nasional, Siti Nur Umaira Hasim.

Mohamad Hanifah pada PRN tahun 2023 bertanding atas tiket Perikatan Nasional, menewaskan calon PH-PKR iaitu Datuk Ismail Ahmad dengan majoriti 1,640 undi.

 

Must Watch Video

Advertisement