KUALA LUMPUR: Maxis telah mengenal pasti individu yang dikaitkan dengan insiden akses tanpa kebenaran melibatkan butiran akaun seorang pelanggan, yang tular di media sosial, sejak malam tadi.
Dalam satu kenyataan, syarikat telekomunikasi itu berkata siasatan sedang dijalankan berhubung insiden berkenaan, yang disifatkan sebagai kes terpencil melibatkan tindakan tanpa kebenaran.
"Kami sedang menyiasat satu insiden yang tular di media sosial malam tadi berkenaan butiran akaun seorang pelanggan Maxis.
"Semua akses kepada akaun pelanggan direkodkan dan dipantau sepenuhnya. Hasil siasatan kami menunjukkan bahawa ini merupakan insiden terpencil yang melibatkan tindakan tanpa kebenaran," katanya.
Maxis menegaskan tiada sebarang petunjuk bahawa insiden tersebut melibatkan pelanggan lain secara lebih meluas.
Jelas syarikat itu lagi, pihaknya akan menghubungi pelanggan berkenaan berkaitan hal tersebut.
"Kami memohon maaf atas insiden ini. Kami kekal komited terhadap privasi data dan perlindungan data peribadi," kata Maxis.
Pada Isnin, pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming menuntut penjelasan daripada syarikat telekomunikasi berkenaan selepas butiran bil telefon peribadinya didakwa diketahui dan didedahkan oleh seorang individu menerusi media sosial.
Ia selepas seorang pengguna di platform Threads mendakwa Khairul Aming mempunyai tunggakan bil telefon berjumlah RM498, selain mendakwa talian telefon usahawan berkenaan telah disekat berikutan isu bayaran.
Susulan itu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mendapatkan laporan penuh berhubung dakwaan kebocoran maklumat peribadi tersebut.