KUALA LUMPUR:Hutang yang ditanggung oleh kerajaan Persekutuan setakat akhir September lalu adalah sebanyak RM874.3 bilion atau 60.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri, berkata berdasarkan pengiraan had statutori, nisbah hutang Kerajaan Persekutuan berada pada tahap 56.6 peratus daripada KDNK.

Jelas beliau, ia merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB).

"Bagaimanapun, kerajaan juga menanggung dan terdedah kepada komitmen kewangan, seperti RM177 bilion, bagi melaksanakan projek infrastruktur antara lain meliputi pengangkutan awam transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT) dan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

"Selain itu, hutang syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM32 bilion sehingga September lalu dan anggaran liabiliti kewangan lain sebanyak RM173.3 bilion merangkumi projek-projek Kerjasama Awam Swasta (PPP), Inisiatif Dibiayai Swasta (PFI) dan Pembinaan BLT Sdn Bhd (PBLT).

"Sebagai contohnya, projek pembangunan Putrajaya, pembinaan kuarters polis, penyelenggaraan fasiliti kerajaan seperti hospital dan jalan.

"Sekiranya mengambil kira defisit fiskal semasa, termasuk pembiayaan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi, kedudukan hutang serta pendedahan liabiliti kerajaan dianggar RM1.257 trilion atau 87.3 peratus daripada KDNK pada akhir September lalu," katanya di Dewan Rakyat, di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan M. Karupaiya Mutusami (PH-Padang Serai) meminta kementerian menyatakan hutang dan liabiliti kerajaan yang berjumlah RM1.264 bilion pada akhir tahun ini dan apakah langkah kerajaan dalam memastikan jumlah hutang dan liabiliti tersebut tidak menjadi beban kepada generasi akan datang.