Kerajaan negeri disaran menjual taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) kepada pihak swasta melalui tender terbuka bagi mengurangkan impak kewangan terhadap pentadbiran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming berkata kerajaan negeri tidak perlu lagi menanggung beban hutang daripada taman tema itu sedangkan duit berkenaan boleh digunakan untuk tujuan kebajikan rakyat.

“MAPS telah alami kerugian hampir RM500 juta, sasaran jumlah pelancong juga jauh tersasar. Dahulu (kerajaan negeri) Barisan Nasional membentangkan setahun akan terima 2 juta pelancong, saya dengar sekarang hanya 120,000 pelancong sahaja setahun.

“Saya syorkan taman tema ini dijual melalui tender terbuka supaya kerajaan negeri tak perlu lagi menanggung beban, hutang (MAPS) menggunung, ia satu beban besar dan menjejaskan usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan kebajikan rakyat,” katanya pada satu sidang media ketika Sidang DUN Perak, di sini, hari ini.

Tambah beliau yang juga Pengerusi DAP Perak, langkah penjualan itu juga selari dengan pandangan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan tidak sepatutnya terlibat dalam perniagaan tetapi menyerahkannya kepada sektor swasta.

“Memang bukan tanggungjawab kerajaan negeri untuk menguruskan taman tema kerana tiada masa dan kepakaran.

“Pilihan terbaik ialah kita hentikan kerugian, kalau tidak hentikan kerugian sekarang, kita akan alami kerugian yang lebih besar. Berikan kepada swasta, sudah tentu mereka akan menjana keuntungan kerana mereka pakar dalam bidang ini,” ujarnya.

MAPS merupakan projek usahasama milik PCB Development Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat di bawah kerajaan negeri Perak.