DREBAR
Hyundai Tucson baharu dilancarkan di Malaysia


Enjin yang digunakan berkapasiti 2.0-liter yang menghasilkan 153hp dan 192Nm untuk memacu roda hadapan menerusi kotak gear automatik enam kelajuan. Pemandu juga boleh memilih antara tiga mod memandu iaitu ‘normal’, ‘sports’, atau ‘eco’.
Tucson baharu ini membawa tema penggayaan Fluidic Sculpture 2.0 di mana bahagian hadapan mengekalkan gril heksagon yang menonjol. Profil SUV ini dibuat lebih menarik dengan mengubah A-pillar lebih ke belakang bagi memberi pengasingan kepada bonetnya yang panjang.

Dari segi saiz, generasi ini adalah lebih besar – 3 inci lebih panjang, 1.1 inci lebih lebar dan dengan tambahan 1.2 inci untuk wheelbase. Ini semua meyumbang kepada kabin yang lebih lapang, termasuk ruang kargo yang bertambah kepada 488 liter.
Dari segi keselamatan, varian Elegance berbeza dengan Executive (yang lebih premium) melalui jumlah beg udara; masing-masing dua dan enam. Semua ciri-ciri lain, termasuk vehicle safety management (VSM), electronic stability control (ESC), hillstart assist control dan downhill brake control, adalah standard.

Kedua-dua varian turut memberi kemasan dalaman yang dibalut kulit, namun ternyata Executive mempunyai pelbagai kelebihan tambahan. Contohnya adalah kerusi yang boleh dilaras menggunakan motor elektrik, paparan LCD 4.2 inci, dan juga brek parkir elektronik.
Selain itu, Tucson Executive juga dilengkapkan dengan corong penghawa dingin bagi penumpang belakang. Varian Elegance sebaliknya hanya mempunyai corong bagi penumpang hadapan.

Hyundai Tucson baharu ini dipasang di dalam negara (CKD) dan dijual pada harga RM129,888 bagi varian Elegance, dan RM143,888 bagi varian Executive (harga atas jalan termasuk insurans). Namun, pihak pengedar iaitu Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) turut memaklumkan bahawa harga-harga ini akan bertambah sebanyak RM3,000 bermula Januari 2016.
Setiap pembelian akan disertakan penyelenggaraan percuma untuk 50,000km terhad kepada tiga tahun, bersamaan enam kali penyelenggaraan. Waranti pula adalah untuk 5 tahun, ataupun 300,000km.
Dalam pada itu, HSDM sedang mengkaji keadaan pasaran untuk kesesuaian varian-varian tambahan pada tahun hadapan.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami