IPOH: Kerajaan tidak harus menolak dan terus menutup pintu rundingan berhubung pengeluaran wang skim i-Citra daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dalam masa sama, pengeluaran itu juga tidak akan memberi kesan besar kepada KWSP.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebaliknya berkata, ia akan memberi kesan positif kepada rakyat dan ekonomi negara.

"Bagi saya tidak ada masalah untuk kekal dengan RM10,000 ini, tapi dalam masa yang sama, kerajaan janganlah terus tolak dan jangan terus tutup pintu.

"Kita minta supaya dengarlah rintihan dan suara hati rakyat. Kami bersama dengan rakyat dan kami tahu memang apa yang berlaku hari ini dan permintaan rakyat hari ini adalah perkara yang benar, real, rakyat tengah susah. Jadi sebab itulah kami memohon sangat-sangat, terutamanya Datuk Seri Tengku Zafrul, Menteri Kewangan," katanya.

BACA: 97 peratus mahu pengeluaran KWSP i-Citra maksima RM10,000 - Kajian

BACA: KWSP bukan penyelesaian cabaran, simpanan masa tua juga sama penting - Tengku Zafrul

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran sukarelawan Skuad Sabil Pemuda UMNO Negeri Perak di Ipoh, pada Sabtu.

Pelancaran disempurnakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri yang juga Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurutnya, Pemuda UMNO akan terus konsisten memperjuangkan isu itu, walaupun ada pihak yang mendakwa sekiranya ia dibenarkan, ia mungkin akan dibenarkan di masa akan datang.

Beliau berpendapat, isu pandemik berlaku di luar jangkaan lazimnya berlaku dalam tempoh yang lama dan jika benar pun, ia dibenarkan oleh akta.

Berdasarkan Kajian Awam Pengeluaran KWSP i-Citra yang dilakukan Biro Penyelidikan dan Pembangunan Pemuda UMNO Malaysia baru-baru ini, didapati 97 peratus daripada lebih 21,000 responden memerlukan pengeluaran wang itu.