KUALA LUMPUR:Kerajaan digesa agar menunaikan permintaan rakyat khususnya berkaitan pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui kemudahan i-Sinar.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, adalah tidak wajar mendedahkan rakyat kepada risiko COVID-19 hanya kerana bersesak ke cawangan KWSP untuk tujuan rayuan dan serahan dokumen bukti tertentu.

“Tunaikan sahajalah permintaan rakyat agar pengeluaran i-Sinar KWSP tanpa syarat atau kriteria.

“Tidak wajar mendedahkan rakyat kepada risiko COVID-19 hanya kerana mereka perlu bersesak ke pejabat KWSP untuk merayu dan menyerahkan dokumen bukti untuk melayakkan mereka termasuk dalam kategori 2 i-Sinar,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebooknya di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas terdapat laporan media mendedahkan ada beberapa pejabat KWSP ditutup ekoran langkah keselamatan akibat berlakunya penularan COVID-19.

 
Sumber Facebook drasyrafwajdidusuki

Asyraf Wajdi menambah, sesi persekolahan yang akan bermula pada 20 Januari ini antara faktor rakyat benar-benar memerlukan kemudahan tersebut.

"Pada 20 Januari ini sesi persekolahan baharu akan bermula. Rakyat terdesak perlukan tunai.

"Ramai yang memang susah ketika ini. Suasana pandemik ini adalah suatu yang luar biasa, mungkin sekali dalam seratus tahun. Tindakan juga perlu luar biasa.

Terdahulu, Pergerakan Pemuda UMNO selari dengan keputusan Barisan Nasional (BN) yang mahukan kerajaan mempermudahkan pihak pencarum bagi mengeluarkan wang simpanan mereka tanpa mengenakan sebarang syarat dan diberikan pilihan untuk mengeluarkannya secara ‘one-off’ sebanyak RM10,000 maksimum.