KUALA LUMPUR:Pastikan wang yang dikeluarkan melalui i-Sinar daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digunakan untuk keperluan asas, bukan untuk perkara lain yang tidak berfaedah, tegas Penasihat Kewangan Islam, Dr Razli Ramli.

Beliau berkata, semua pemohon harus sentiasa ingat bahawa tujuan utama pengeluaran wang tersebut adalah untuk menampung keperluan harian.

Justeru, katanya adalah menjadi tanggungjawab penerima untuk mengutamakan keperluan terlebih dahulu berbanding perkara lain.

BACA: Sah! Tiada lagi syarat buat pengeluaran i-Sinar

“Kita kena ingat, kita dapat wang tunai. Biasa bila dapat wang tunai, kita jadi kelabu mata. Oleh itu, kita kena awasi dengan baik.

“Kita utamakan keperluan asas, bagi nafkah diri dan keluarga, makanan, tempat tinggal. Kalau ada hutang perlu bayar, bayar itu dulu.

“Janganlah membelanjakan kepada aktiviti-aktiviti yang lain, aktiviti percutian, hiburan, beli telefon bimbit dan sebagainya. Itu semua bukan keperluan,” katanya kepada Astro AWANI.

Dr Razli Ramli berkata, semua orang yang mengeluarkan wang berkenaan harus benar-benar ada perancangan.

Razli turut menasihatkan pemohon merancang terlebih dahulu sebelum mengeluarkan wang, bukan hanya keluarkan sahaja tanpa sebarang perancangan.

“Kalau ada keperluan baru kita keluarkan. Sekiranya kalau keluar, kita kena pastikan bahawa duit itu digunakan untuk menampung keperluan asas kita, bukan untuk digunakan kepada perkara lain.

“Ingat, keperluan dulu yang diutamakan kerana duit KWSP adalah duit simpanan masa depan. Jika tiada keperluan, jangan sesekali keluarkannya.

“Ini kerana simpan di KWSP lebih baik daripada dikeluarkan dan gunakan kepada perkara-perkara tidak berfaedah,” ujarnya.


i-Sinar | Sah! Pengeluaran kini tanpa syarat

Astro AWANI semalam melaporkan Kementerian Kewangan mengesahkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang dalam proses memansuhkan syarat kemudahan pengeluaran i-Sinar.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pemansuhan itu dilakukan selepas menerima nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berdasarkan maklum balas pihak awam.

Berikut perincian pengeluaran:

A) Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga RM10,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam (6) bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

B) Bagi ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1 mereka. Walau bagaimanapun, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam (6) bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000.


Niaga AWANI: Kebenaran pengeluaran i-Sinar tanpa syarat