Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menggesa semua kerajaan menerima pakai mekanisme mengimbangi karbon global tunggal yang akan dibentangkan pada perhimpunan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) ke-39 akhir tahun ini.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Tony Tyler berkata pada masa ini, ICAO dan kerajaan berkaitan sedang mengusahakan mekanisme itu, yang menyasar untuk menangani pelepasan karbon daripada penerbangan antarabangsa.

Ini merupakan sebahagian usaha industri untuk mencapai sasaran pertumbuhan neutral karbon dari tahun 2020, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

"Mekanisme ini sepatutnya mudah, mandatori dan digunakan secara global, mengelakkan kos dan kerumitan yang boleh ditimbulkan oleh langkah-langkah tidak selaras," katanya.

Penerbangan adalah sektor industri pertama menetapkan sasaran pengurangan karbon di peringkat global yang termasuk meningkatkan kecekapan bahan api sebanyak 1.5 peratus setahun hingga 2020 dan mengurangkan pelepasan karbon sehingga separuh pada 2050 berbanding dengan tahun 2005.