BATU GAJAH: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yakin Kementerian Pendidikan mempunyai cara untuk menangani kluster pendidikan yang membimbangkan golongan ibu bapa ketika ini.

Dalam masa sama, Kementerian Pendidikan diminta memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) di sekolah untuk menyekat penularan COVID-19.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pihaknya memahami kebimbangan ibu bapa ekoran penutupan sekolah di beberapa buah negeri seperti di Sarawak dan Kelantan, Selangor dan Johor.

"Saya yakin bahawa kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia akan mengambil SOP yang lebih ketat untuk mengurangkan kebimbangan ibu bapa dan saya berharap agar pihak kementerian juga akan memandang serius tentang hal ini memandangkan kanak-kanak ini juga antara mereka yang berisiko dan kerana itu saya juga menggesa agar vaksin untuk kanak-kanak ini dapat dipercepatkan kerana sekarang ini  vaksin untuk mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Dapur Kita Dewan Undangan Negeri Tualang Sekah di sini, pada Ahad.

Menurutnya, beliau akan berhubung dengan Menteri Pendidikan, Datuk Radzi Jidin untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keadaan kluster pendidikan supaya ia dapat diberikan perhatian khusus.

Sehingga Sabtu, semua sekolah di Sarawak di tutup selain beberapa kawasan di Kelantan, Selangor dan Johor kerana beberapa pelajar dan guru disahkan positif COVID-19.

Pada majlis itu, lebih 200 golongan B40 di dalam DUN Tualang Sekah menerima sumbangan barangan dapur.