KUALA LUMPUR: Ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk mempersoalkan, meneliti dan memahami ldengan ebih baik tentang sesuatu dasar pendidikan yang dilaksanakan kerajaan.

Isu ini disuarakan oleh pensyarah kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, yang berpendapat ibu bapa perlu lebih bersedia berbincang mengenai dasar dalam menuju ke arah sistem pendidikan inklusif.

"Sifat tidak ambil tahu, mengabaikan, atau tidak ambil peduli tentang sesuatu dasar yang dilaksanakan oleh KPM dengan andaian, apa yang dilakukan oleh pihak yang merancang, melaksana dan menentukan dasar itu adalah semua betul, adalah satu kaedah yang tidak wajar dan ia tidak boleh dilakukan.

"Sebab itu kalau kita lihat di negara negara maju, sesuatu dasar pendidikan yang ingin mereka kemukakan kepada masyarakat, rakyat akan begitu cakna dan ambil peduli dan berlaku banyak libat urus dalam kalangan anggota masyarakat termasuk menganjurkan dialog perbincangan, debat, wacana dan sebagainya untuk memastikan dasar memberi manfaat kepada murid," katanya.

Malah dalam keadaan tertentu, jelas Anuar, sebelum sesuatu dasar dilaksanakan, kajian demi kajian dijalankan pihak berkuasa, ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak yang mengambil bahagian dalam bidang pendidikan, demi memastikan kajian itu menjadi garis panduan kepada kerajaan sebelum ia dilaksanakan. 

Bagaimanapun, beliau melihat situasi berbeza berlaku di negara ini apabila terdapat kebolehpercayaan yang rendah dalam kalangan masyarakat terhadap dasar pendidikan yang diwujudkan sebelum ini.

"Mengapa rakyat tidak mengambil endah, memandang rendah atau memandang sinis kepada dasar pendidikan yang dilaksanakan. Puncanya kerana dasar-dasar itu dilihat tidak memberi keuntungan besar kepada murid-murid.

"Cuma, oleh kerana semasa memperkenalkan dasar itu, kaedah (pelaksanaan) lebih berbentuk dari atas ke bawah (top down), maka hanya beberapa tahun kemudian apabila ibu bapa, anak-anak menerima kesan daripada dasar, barulah kita berani untuk membuka mulut dan mempertikai... baru sedia bertanya malah mungkin menolak dasar itu," katanya.