Mahkamah Majistret Selayang pada Isnin diberitahu bahawa seorang ibu yang didakwa menanam mayat anak lelakinya di lantai dapur sebuah rumah, adalah waras dan layak dibicarakan atas pertuduhan yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Zulia Balqish Syed Agil berkata, berdasarkan laporan psikiatri yang dikeluarkan Hospital Tanjung Rambutan, Perak, Tan Boa Jia, 33, layak dibicarakan atas pertuduhan cuba melupuskan mayat.

Bagaimanapun, Peguam Kitsoon Fong yang mewakili tertuduh berkata laporan yang dikeluarkan hospital itu tidak menyatakan secara terperinci sama ada tertuduh mengalami 'battered wife syndrome'.

"Laporan ini malangnya tidak jelaskan sama ada tertuduh menghadapi battered wife syndrome, permohonan pihak pembelaan (sebelum ini) adalah supaya satu laporan spesifik disediakan pihak hospital untuk mengenal pasti sama ada tertuduh menghadapi sindrom itu atau tidak," hujahnya.

Sehubungan itu, Fong memohon mahkamah mengeluarkan surat kepada hospital bagi mendapatkan laporan lebih terperinci selain meminta mahkamah mengekalkan tarikh sebutan semula pada 8 Sept sebagaimana yang ditetapkan pada prosiding Jumaat lepas.

"...dan jika diperlukan, Orang Kena Tuduh (OKT) bersedia untuk diarah semula ke Hospital Bahagia untuk temu janji dan pemerhatian," hujahnya.

BACA: Kes simen anak: Suspek dipercayai mengalami 'sindrom didera suami'

BACA: Mayat kanak-kanak lelaki telah disimen selama 8 minggu - Polis

Tiada sebarang bantahan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Zulia Balqish.

Majistret Nurliana Ismail membenarkan permohonan peguam dan akan menghubungi Hospital Bahagia untuk membuat pemeriksaan semula terhadap tertuduh.

Pada 12 Jun lepas, Tan didakwa atas tuduhan melupuskan mayat Loo Yong Shen Evan, 9, yang dibunuh suaminya Loo Chon Wen, 33, di rumah No. 26, Jalan 10, Taman Usaha Jaya, Kepong, pada 2 petang, 29 Mac lepas.

Tan didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan manakala suaminya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.