NATIONAL
Ibu gajah mungkin kembali ke lokasi anaknya mati - Perhilitan

Perhilitan menggunakan pelali untuk membawa ibu gajah jauh dari lokasi bagi mengelak risiko kepada pengguna jalan raya. -Sinar Harian/Perhilitan Perak
GERIK: Ibu gajah yang kehilangan anaknya akibat dilanggar sebuah lori muatan ayam dalam kejadian kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, awal pagi tadi, mungkin akan kembali ke lokasi kejadian.
Ringkasan AI
- Ibu gajah yang kehilangan anaknya akibat dilanggar lori muatan ayam mungkin akan kembali ke lokasi kejadian.
- Perhilitan menggunakan pelali untuk membawa ibu gajah jauh dari lokasi bagi mengelak risiko kepada pengguna jalan raya.
- Kemalangan berlaku kira-kira jam 2 pagi dan melibatkan seekor anak gajah yang terperosok di bawah lori.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, dalam operasi itu, seramai 10 anggota dari Perhilitan Perak dan Kelantan ditugaskan membantu ‘menenangkan’ ibu gajah berkenaan.
“Pelali yang kita gunakan mengikut dos sesuai berdasarkan berat gajah tersebut bagi membolehkan ia dibawa ke hutan berhampiran. Lokasi pemindahan hanya sekitar satu kilometer dari tempat kejadian.
“Memang ada kemungkinan gajah itu akan kembali ke lokasi kejadian, tetapi kita berharap ia akan bertemu dengan kumpulan gajah lain dan terus mengikut kumpulan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Yusoff berkata, gajah denak atau lori khas tidak digunakan dalam proses tersebut kerana tindakan perlu dilakukan segera bagi mengelak kesesakan trafik di lokasi berkenaan.
Terdahulu, video menyayat hati berdurasi seminit 11 saat yang tular di media sosial mengundang reaksi simpati dalam kalangan warganet apabila melihat tindakan ibu gajah yang enggan berganjak dari lokasi kerana mahu ‘menyelamatkan’ anaknya.
Difahamkan, kemalangan kira-kira jam 2 pagi itu membabitkan sebuah lori muatan ayam dan seekor anak gajah yang ditemui terperosok di bawah bahagian hadapan lori berkenaan. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami