KOTA BHARU: Ibu kepada kanak-kanak tiga tahun sembilan bulan yang dilaporkan kritikal akibat kandungan dadah dalam badan berharap suspek yang melakukan perbuatan terhadap mangsa mendapat pembalasan setimpal.

Wanita itu memberitahu tidak menyangka kejadian tersebut berlaku terhadap anak bongsunya itu apatah lagi dia merupakan seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) kategori Sindrom Down.

Menurutnya, keadaan anak yang masih tidak sedarkan diri itu menyebabkan dia berasa bimbang serta buntu memikirkan nasib menimpa mereka sekeluarga.

"Saya berharap anak dapat pulih seperti biasa dan sepupu yang mengakibatkan keadaan dia jadi begini akan mendapat pembalasan yang wajar," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini pada Selasa.

Mengulas mengenai kejadian, dia memberitahu meninggalkan anaknya yang baru boleh berjalan dengan datuk mangsa yang kebetulan tinggal bersama.

"Saya dimaklumkan ayah (datuk mangsa) tertidur dan tidak sedar anak diambil oleh sepupu.

"Apabila saya pulang, ayah memberitahu sepupu membawa anak ke sungai untuk berjalan-jalan.

"Suspek bukan bapa saudara anak tetapi sepupu saya," katanya.

Menurutnya, semasa dibawa pulang, anaknya berada dalam keadaan lemah dan menyangka dia letih kerana bermain di sungai.

Bagaimanapun katanya, selepas melihat anaknya tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan kritikal, dia terus membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Umpama jatuh ditimpa tangga, dia yang menghidap kanser payu dara tahap lima sejak enam tahun lalu berkata, keadaan itu menyukarkan mereka sekeluarga apatah lagi dia tidak bekerja serta mengharapkan bantuan ayah yang bekerja sebagai penoreh getah.

Dalam masa sama, dia turut bertanggungjawab menjaga ketiga-tiga anaknya yang berusia empat, 13 dan 17 tahun seorang diri.

"Saya ada suami tetapi tidak tahu dia berada di mana sekarang serta sudah lama tidak berhubung," katanya.

Dia berkata, kejadian menimpa mereka itu juga menyebabkannya tidak mempunyai selera makan dan hanya menangis mengenangkan nasib anak bongsunya itu.

Media pada Isnin melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan dari Kampung Sri Bintang, Kuala Krai berada dalam keadaan kritikal dipercayai akibat terdapat kandungan dadah dalam badan.

BACA: Kanak-kanak tertelan dadah masih tidak stabil

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kanak-kanak tersebut yang sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini terpaksa ditidurkan.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.