Skip to main content

Malaysia

Ibu tunggal rugi RM60,500 terperdaya 'love scam'

81706786364_TBLOVESCAM.jpg
Wanita itu menyedari ditipu selepas usaha menghubungi suspek beberapa hari selepas itu gagal.

KUALA TERENGGANU: Seorang ibu tunggal kerugian RM60,500 selepas ditipu sindiket penipuan cinta atau love scam bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa yang berusia lingkungan 30-an telah berkenalan dengan suspek lelaki menerusi aplikasi TikTok sebelum melanjutkan perbualan melalui WhatsApp.

Beliau berkata setelah beberapa hari berkenalan, suspek meminta pertolongan mangsa untuk membuat pemindahan wang sebanyak RM500 bagi pembayaran hotel.

"Mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai telah membuat pemindahan wang pada 10 April lepas namun selang beberapa hari, suspek merayu agar mangsa meminjamkan wang sebanyak RM60,000 kononnya untuk membuka semula akaun banknya yang disekat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata wanita berkenaan yang terperdaya dengan pujukan itu telah membuat pinjaman peribadi dan memindahkan wang tersebut berserta simpanannya berjumlah RM60,000 ke akaun yang diarahkan suspek pada 24 April lepas.

Beliau berkata wanita itu menyedari ditipu selepas usaha menghubungi suspek beberapa hari selepas itu gagal.

Mangsa membuat laporan polis pada 10.01 malam tadi atas nasihat keluarga dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video