#ICYMI Berita Pilihan Pengarang (20 Jun - 26 Jun)

Astro Awani
Jun 27, 2016 00:05 MYT
Berikut adalah senarai berita pilihan pengarang Astro AWANI dari 20 hingga 26 Jun.
BERIKUT adalah senarai berita pilihan pengarang Astro AWANI untuk minggu bermula 23 Mei hingga 29 Mei 2016.
Antara tajuk-tajuk utama minggu lalu termasuk Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia umum penamatan kontraknya, Setiausaha PKR Cabang Miri Bill Kayong ditembak mati, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat dari UMNO dan warga Britain pilih untuk keluar dari Kesatuan Eropah.
ISNIN, 20 Jun:
Wang RM12 juta: Polis tidak akan lakukan inkuiri
Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan melakukan inkuiri berhubung pembayaran wang berjumlah RM12 juta bagi membebaskan empat rakyat Malaysia yang diculik di Pulau Ligitan, Sabah pada April lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tiada keperluan untuk menubuhkan inkuiri kerana pihak PDRM tidak terlibat dalam pembayaran wang tersebut.
SELASA, 21 Jun:
Setiausaha PKR Miri, Bill Kayong mati ditembak
Setiausaha PKR Cabang Miri dan bekas calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu, Bill Kayong, ditemui mati ditembak di Miri.
Bill yang ketika itu sedang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota beserta logo PKR, ditembak dari sebelah tingkap pemandu sementara menunggu lampu isyarat bertukar hijau.
RABU, 22 Jun:
Dr M perlu bertanding dalam PRU untuk terus aktif dalam politik - Wan Azizah
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu bertanding dan menang dalam pilihan raya umum terlebih dahulu bagi membolehkannya terus bergiat aktif dalam dunia politik.
Demikian reaksi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berkata Dr Mahathir perlu berbuat demikian bagi membuktikan dirinya layak untuk menerajui pakatan pembangkang.
KHAMIS, 23 Jun:
Tiada tekanan, keputusan atas permintaan saya - Abu Kassim
Itu kata Tan Sri Abu Kassim Mohamed ketika mengumumkan penamatan kontraknya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mulai 1 Ogos 2016.
Tegasnya, beliau memilih untuk mempercepatkan penamatan tempoh kontraknya apabila ditawarkan menjadi pakar jemputan di International Anti-Corruption Academy (IACA), sebuah Universiti Pencegahan Rasuah pertama di dunia.
JUMAAT, 24 Jun:
PM Britain David Cameron umum peletakan jawatan
Perdana Menteri Britain David Cameron mengumumkan peletakan jawatannya selepas rakyat negara itu memilih untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).
Cameron, bagaimanapun berjanji akan membantu menstabilkan keadaan dalam beberapa bulan ini sebelum pengambil alihan kepimpinan baru Oktober.
Muhyiddin & Mukhriz dipecat, Shafie menunggu nasib
Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini membuat keputusan sebulat suara untuk memecat Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kedua-dua pemimpin UMNO itu telah berada sepentas bersama pemimpin pembangkang dan menyerang kepimpinan parti.
SABTU, 25 Jun:
'Selamat tinggal UMNO'
Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pemecatan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO terhadap beliau adalah satu dugaan Allah kepada dirinya pada bulan Ramadan ini.
Katanya, beliau telah menjangkakan keputusan yang dibuat oleh MT walaupun menegaskan beliau tidak pernah meninggalkan atau mengkhianati UMNO.
AHAD, 26 Jun:
Kereta bersama 50kg bahan letupan gegarkan Sungai Golok
Sebuah bom kereta meletup di pekan Sungai Golok di sini pagi Ahad mencederakan dua orang awam berada berhampiran lokasi kejadian, menurut polis.
Ketua Polis Sungai Golok Kol Korn-art Suwannakam berkata, dianggarkan 50kg bahan letupan diletakkan dalam kereta itu yang meletup kira-kira 6.10 pagi (waktu tempatan) berhampiran markas polis dan pasar serta rumah di pekan itu.
##ICYMI #Astro Awani #Bill Kayong #MT UMNO #Muhyiddin #Pilihan Pengarang