KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Salahuddin Ayub, memaklumkan idea penubuhan satu lagi inisiatif yang dipanggil hypermarket sosial untuk golongan B40, sedang dalam perbincangan.

Ia bagaimanapun masih di peringkat konsep, namun akan cuba diusahakan untuk membawa barangan keperluan mampu milik kepada golongan terbabit.

"Kalau dilaksanakan, kita buat satu projek pilot dahulu di Kuala Lumpur, selepas itu barulah boleh buat di seluruh negara.

"Idea ini daripada 99 Speedmart sendiri, mereka ada 2,300 cawangan di seluruh negara. Mereka boleh buat dengan harga kompetetif, jadi mengapa tidak kita wujudkan satu konsep harga barangan pasaran untuk B40.

"Ini kita akan usahakan, berikan kami masa untuk bincang terlebih dahulu," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Jualan Rahmah Hari Raya 99 Speedmart di cawangan Bukit Jalil, pada Khamis.

Dalam pada itu, kata Salahuddin, KPDN juga akan membangunkan pendekatan jangka panjang yang lebih mampan bagi inisiatif Payung Rahmah.

Perbincangan dalaman sedang dijalankan dan satu cadangan yang menjanjikan adalah untuk pemain industri besar bergilir-gilir menjalankan kempen diskaun Rahmah.

Ini akan memastikan sekurang-kurangnya satu inisiatif Payung Rahmah akan dijalankan sepanjang tahun.