Dua adik-beradik antara tiga mangsa dilaporkan rentung apabila kereta dinaiki mereka dipercayai dilanggar sebuah bas di Kilometer 447.7 Lebuhraya Utara-Selatan dari arah Rawang ke pusat bandar, dekat sini, pada Sabtu.

Identiti mangsa yang terlibat dalam nahas itu dikenali sebagai Darjit Singh Nasib Singh, 45, dan adiknya Ranjit Singh Nasib Singh (umur tidak diketahui) serta anak saudara mereka, Rash-deep Singh Balwant Singh, 21.

Bapa kepada Rash-deep, Palwant Singh Hazara Singh, 67, berkata dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan oleh polis.

"Saya tidak sangka keputusan anak saya (Rash-deep) untuk mengikut kedua bapa saudaranya itu bertukar menjadi tragedi.

"Walaupun amat sedih, saya terima pemergiannya sebagai takdir tuhan," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh di sini, pada Ahad.

Beliau berkata anak bongsu daripada tiga beradik itu seorang yang amat ceria, rajin belajar dan fokus dengan cita-citanya serta amat berdisiplin.

Kejadian pada 8.30 malam itu menyebabkan kedua-dua kenderaan tersebut terbakar sepenuhnya, manakala 15 penumpang dan pemandu bas berjaya menyelamatkan diri.