Skip to main content

Malaysia

Identiti lelaki Korea Selatan yang diburu 10 tahun terbongkar selepas diculik di Genting

SIDANG MEDIA JSJ
Menurut M Kumar, suspek menghubungi kenalan mangsa dan menuntut wang tebusan kira-kira RM40 juta melalui akaun kripto, dengan RM12 juta daripadanya selesai dibayar. - Gambar Shahir Omar/Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang lelaki warga Korea Selatan yang dikehendaki pihak berkuasa negara asalnya sejak 10 tahun lalu 'bersembunyi' di Malaysia, akhirnya terbongkar selepas dia menjadi mangsa penculikan dalam kejadian di Genting Highlands, Pahang, pada 17 April lalu. 

Mangsa berusia 40 tahun itu dipercayai terlibat dalam kumpulan jenayah terancang serta aktiviti perjudian haram di negara asalnya. 

Advertisement

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata, dalam kejadian itu kenderaan yang dinaiki mangsa dipintas sebuah kenderaan lain dinaiki tiga lelaki, yang juga warga Korea Selatan ketika dalam perjalanan menuju ke ibu negara. 

"Mangsa kemudian dibawa ke Melaka dan dikurung di sebuah homestay. Siasatan mendapati mangsa didapati diikat, dipukul serta diugut menggunakan objek menyerupai pistol ketika dikurung," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pada Jumaat. 

Menurut Kumar, suspek turut menghubungi kenalan mangsa dan menuntut wang tebusan kira-kira RM40 juta melalui akaun kripto, dengan RM12 juta daripadanya selesai dibayar. 

"Kita menerima dua laporan, satu daripada rakan mangsa dan satu lagi daripada seorang wanita yang mengaku sebagai isteri mangsa. 

"Berdasarkan laporan itu, polis menubuhkan satu pasukan khas yang melibatkan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Melaka serta Bukit Aman. 

"Hasil serbuan, polis berjaya menyelamatkan mangsa dan menahan tiga suspek yang juga warga Korea. Kesemua suspek berusia 28 hingga 40 tahun," ujarnya. 

Beliau berkata, siasatan mendapati dua suspek memasuki Malaysia pada Mac lalu menggunakan pas lawatan sosial yang sah sehingga Jun depan, manakala seorang lagi tidak mempunyai rekod kemasukan ke negara ini. 

"Siasatan lanjut bersama pihak Kedutaan Korea mendapati pasport mangsa dibatalkan dan dia turut tersenarai dalam Notis Merah Interpol kerana dikehendaki polis Korea Selatan bagi membantu siasatan di negara itu," katanya. 

Kumar berkata, pihaknya turut mengesan aliran transaksi kewangan berkenaan dan berjaya membekukan kira-kira RM11.5 juta daripada tiga akaun kripto yang digunakan. 

"Siasatan juga mendapati wang berkenaan dipindahkan ke kira-kira 10 akaun lain bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa," katanya. 

Daripada transaksi itu, Kumar memberitahu, polis berjaya mengesan aliran transaksi kewangan dan seterusnya membekukan kira-kira RM11.45 juta daripada tiga akaun kripto yang terlibat.

Menurutnya, mangsa dan suspek tidak saling mengenali, dan kejadian itu dipercayai bermotifkan wang semata-mata. 

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 kerana menculik bagi tujuan wang tebusan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Must Watch Video