Skip to main content

Dunia

[KOLUMNIS] Kongres Parlimen Global Sumud, Deklarasi Brussels: Seruan tindakan global demi Palestin

81769655229_GAZA.jpg
Lebih 2.3 juta rakyat Palestin kini berhadapan kebuluran, kehilangan tempat tinggal, dan penafian hak asas untuk hidup dengan bermaruah. - Gambar/ Reuters

KONGRES Parlimen Global Sumud dan Deklarasi Brussels yang berlangsung di Brussels pada 22 April 2026 merupakan satu peringatan tegas kepada masyarakat antarabangsa tentang tanggungjawab mereka dalam mempertahankan keadilan, undang-undang antarabangsa dan nilai kemanusiaan sejagat.

Deklarasi Brussels mengenai Tanggungjawab Negara, Hak Penentuan Nasib Sendiri, dan Perlindungan Nyawa di Wilayah Palestin yang Diduduki bukan sekadar satu dokumen dasar. Ia adalah satu seruan jelas bahawa dunia tidak boleh lagi berdiam diri terhadap penderitaan yang sedang berlaku di Palestin.

Advertisement

Kongres ini telah menghimpunkan tokoh antarabangsa termasuk Francesca Albanese, ahli-ahli parlimen serta pemimpin masyarakat sivil yang sebulat suara menegaskan bahawa apa yang berlaku di Palestin hari ini bukan sekadar konflik biasa. Ia melibatkan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa, pembunuhan berterusan terhadap orang awam, dan tuduhan genosid yang semakin mendapat perhatian dunia.

Lebih 2.3 juta rakyat Palestin kini berhadapan kebuluran, kehilangan tempat tinggal, dan penafian hak asas untuk hidup dengan bermaruah. Mereka bukan sahaja dinafikan makanan dan perlindungan, tetapi juga berdepan ancaman terhadap nyawa setiap hari. Ini adalah satu krisis kemanusiaan yang tidak boleh lagi dipandang sebagai isu pinggiran atau ditangguhkan tindak balasnya.

Deklarasi Brussels bertujuan untuk menggerakkan sokongan global daripada ahli parlimen, penjawat awam dan masyarakat sivil supaya ia menjadi pemangkin kepada tindakan politik yang nyata, tersusun dan berkesan. Dunia perlu beralih daripada sekadar kenyataan kepada tindakan yang mampu menghentikan penderitaan dan memastikan akauntabiliti terhadap pelanggaran yang berlaku.

Malaysia telah mengambil bahagian dalam usaha ini melalui penyertaan 19 orang delegasi yang terdiri daripada ahli Parlimen, wakil masyarakat sivil, aktivis kemanusiaan dan pengamal media. Delegasi ini diketuai oleh Syed Ibrahim Syed Noh (Ahli Parlimen Ledang), bersama Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Ahli Parlimen Balik Pulau), Ahmad Tarmizi Sulaiman (Ahli Parlimen Sik), dan Abdul Latiff Abdul Rahman (Ahli Parlimen Kuala Krai). Turut serta ialah Datuk Sani Araby yang mewakili MAPIM serta wakil CENTHRA dan pelbagai pihak lain.

Penyertaan ini mencerminkan kesepaduan rentas parti dan sektor di Malaysia dalam memperjuangkan keadilan untuk Palestin. Ia juga menunjukkan bahawa isu ini bukan milik satu pihak, tetapi merupakan tanggungjawab bersama yang melangkaui sempadan politik.

Dalam ucapannya, Francesca Albanese menegaskan bahawa kegagalan untuk bertindak bukan sekadar kelemahan, tetapi boleh ditafsirkan sebagai persetujuan terhadap ketidakadilan. Dunia tidak lagi boleh berlindung di sebalik retorik sedangkan pelanggaran terus berlaku.

Tambahan pula, kongres ini menegaskan bahawa tiada satu strategi tunggal yang mencukupi untuk menangani krisis yang sedang berlaku. Usaha mesti digerakkan dari setiap sudut dan dalam semua ruang yang tersedia politik, diplomatik, undang-undang, kemanusiaan dan mobilisasi rakyat. Pendekatan yang berkesan memerlukan gerakan yang terselaras dan bersepadu antara pelbagai pihak.

Peranan masyarakat sivil akan terus berkembang sebagai penggerak kesedaran dan tekanan moral, manakala ahli-ahli parlimen perlu memainkan tanggungjawab mereka dalam membina kehendak politik (political will) yang kukuh untuk menentang ketidakadilan. Tanpa keberanian politik, sebarang deklarasi hanya akan tinggal sebagai retorik tanpa kesan nyata.

Dalam konteks Eropah, meskipun lebih 1,000 tandatangan telah dikumpulkan sebagai tanda bantahan, Kesatuan Eropah masih meneruskan perjanjian dan kerjasama dengan Israel. Keadaan ini menunjukkan jurang antara suara rakyat dan tindakan dasar, sekali gus menguatkan lagi keperluan untuk tekanan yang lebih konsisten dan berstruktur daripada semua peringkat rakyat, institusi, dan kepimpinan politik.

Semangat kongres ini jelas: keberanian untuk bersuara dan bertindak perlu digerakkan. Keberanian itu berjangkit, dan perubahan hanya bermula apabila ada yang tampil ke hadapan. Sebaliknya, apabila semua memilih untuk diam, ketidakadilan akan terus berakar.

Sebagai kemuncak kepada kongres ini, satu perarakan diadakan dari Mont des Arts ke Place du Luxembourg berhampiran Parlimen Eropah, sebagai simbol tekanan rakyat terhadap pembuat dasar. Kongres ini juga berjalan seiring dengan inisiatif Global Sumud Flotilla dan bantuan kemanusiaan melalui laluan darat, menggabungkan usaha di laut, di peringkat politik dan di jalanan.

Kini bukan lagi masa untuk menunggu. Tindakan politik yang tegas dan berani diperlukan. Parlimen-parlimen dunia mesti memainkan peranan mereka dalam memastikan undang-undang antarabangsa ditegakkan, pembunuhan terhadap orang awam dihentikan, dan hak rakyat Palestin untuk hidup bebas, bermaruah dan berdaulat dikembalikan.

Sejarah akan menilai bukan siapa yang mengetahui, tetapi siapa yang memilih untuk bertindak.


*Dir Kheizwan merupakan peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya dan juga sukarelawan Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA).

**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must Watch Video