Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, beliau akan membawa hasrat calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, Datin Mastura Abdul Yazid untuk menaik taraf Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) kepada perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, memandangkan perkara itu melibatkan Kabinet maka perbincangan perlu dibuat terlebih dahulu kerana ia melibatkan kewangan.

"Perkara ini melibatkan Kabinet kita akan lihat macam mana, kita akan bincang dengan Perdana Menteri bagaimana kita boleh terus membantu KUISAS," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di KUISAS, di sini hari ini.

Mastura hari ini menyatakan impiannya untuk merealisasikan agenda lima perkara bagi memenuhi harapan penduduk Kuala Kangsar.

Lima agenda itu ialah antaranya menaikkan taraf KUISAS kepada universiti awam, menyegerakan kelulusan projek Jambatan Manong, memohon kelulusan projek membesar Jalan Manong - Kuala Kangsar, menaik taraf Hospital Kuala Kangsar kepada hospital pakar, dan membangunkan semula lembah dan tebing Sungai Perak sebagai pusat pelancongan.

Menurut Mastura, kebanyakan yang ada dalam senarai agenda lima perkara itu adalah dari pemikiran suaminya, Allahyarham Datuk Wan Mohamad Khair-il Anuar Wan Ahmad sendiri tetapi belum kesampaian.

Terdahulu dalam majlis yang sama Idris berkata, PTPTN akan terus membantu dan memastikan tiada pelajar yang tercicir dalam menerima bantuan pinjaman PTPTN.

Katanya, kerajaan akan melihat kemampanan PTPTN untuk memastikan mereka dapat terus membantu pelajar.

"Saya beri jaminan sebagai Menteri Pendidikan Tinggi tiada pelajar akan dianiayai, jika ada masalah jumpa PTPTN biasanya yang dapat hukuman dan dikenakan tindakan kerana mereka langsung tidak hubungi PTPTN dan tiada rekod mereka," katanya.

Pada majlis itu beliau telah menyampaikan wang pendahuluan pembiayaan PTPTN kepada 76 orang pelajar yang baru memasuki Politeknik (Program Diploma) di negeri Perak.