Sama seperti pusingan akhir perlumbaan, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Ijok, K.R. Parthiban, kini memasuki gear akhir dan memperhebatkan kempen untuk menambat hati pengundi, dengan tinggal dua hari sahaja sebelum pengundian Ahad ini.

Parthiban, seorang bekas guru, bersandarkan kepada pendekatan 'sentuhan peribadi' sebagai strategi kempennya, tidak berlengah dalam memikat lebih 19,000 pengundi.

"Hari-hari mendatang amat penting. Saya perlu perhebatkan kempen sekarang. Saya mesti membuat penyudah yang baik dan berusaha dengan sedaya upaya. Dengan tinggal dua hari sahaja lagi, saya perlu bergerak lebih pantas dan bekerja lebih keras untuk bertemu seberapa ramai orang yang boleh," kata Parthiban kepada Bernama ketika ditemui semasa mengadakan kempen di Bandar Desa Coalfields di sini.

Setiausaha MIC Selangor berusia 43 tahun itu telahpun bersua muka dengan hampir 75 peratus daripada pengundinya dalam tinjauan mesra di lokasi seperti Bestari Jaya, Kampung Sungai Darah, Bukit Badong, Kampung Seri Aman dan Bandar Desa Coalfields.

Katanya sokongan kaum India kepada BN meningkat dengan ketara memandangkan beliau melawat kawasan ladang di Ijok dan secara konsisten membantu menyelesaikan masalah mereka sejak 2008.

"Saya sedia bekerja lebih kuat untuk memastikan BN memenangi semula kerusi Ijok. Dua hari akan datang saya perlu tingkatkan pergerakan supaya lebih pantas. Saya perlu bertemu seberapa ramai orang yang boleh dan berbicara dengan mereka," katanya.

Terletak di daerah Kuala Selangor yang semakin berkembang, Ijok akan meraih faedah daripada lonjakan pembangunan dalam tempoh lima tahun akan datang, katanya, dan menambah, jika dipilih sebagai Adun, beliau berjanji penduduk setempat akan memperoleh manfaat daripadanya.

Ditanya mengenai tugas pertamanya jika dipilih sebagai Adun, Parthiban berkata beliau akan berusaha membantu menyelesaikan isu hak milik tanah di Bandar Desa Coalfields yang menjadi isu utama pengundi di sana.

"Setakat ini hanya 62 daripada 179 keluarga yang tinggal di Bandar Desa Coalfields menerima surat kelulusan tanah," katanya.

Parthiban berkata Ijok ketika ini menjadi lokasi beberapa kilang, termasuk yang menghasilkan sarung tangan getah.

Katanya, beliau akan memastikan lebih 60 peratus pekerja tempatan akan diambil bekerja di beberapa industri di Ijok.

Pada pilihan raya umum ke-13 Ahad ini, Parthiban akan menentang Idris Ahmad daripada PKR dalam pertandingan satu lawan satu.

Parthiban memenangi pilihan raya kecil Ijok pada 2007 dengan majoriti 1,850 undi untuk mengalahkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada PKR.

Pada pilihan raya umum 2008, Abdul Khalid mengalahkan calon BN Datuk Mohamad Sayuti daripada Umno dengan majoriti 1,920 undi.

Ijok mempunyai kira-kira 19,000 pengundi dengan 49 peratus daripadanya adalah Melayu, 35 peratus India, 16 peratus Cina dan lain-lain.