Kesemua 65 agensi pelancongan berstatus muassasah di negara ini yang mempunyai Lesen Khas Umrah (LKU) diwajibkan menggunakan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) bagi permohonan visa umrah, berkuat kuasa hari ini.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pelaksanaan IMAMS yang merupakan akses rasmi tunggal permohonan visa umrah untuk diproses Kedutaan Arab Saudi di Malaysia, bertujuan menutup ruang penipuan pakej umrah di negara ini.

"Kegagalan pihak yang menguruskan jemaah umrah untuk mematuhi arahan ini akan diambil tindakan keras oleh kementerian dan boleh menyebabkan lesen perniagaan mereka dibatalkan," katanya pada sidang media mengenai sistem itu di sini, hari ini.

Beliau berkata, sistem IMAMS adalah komprehensif, bersepadu dan bersesuaian dengan sistem Kerajaan Arab Saudi yang membolehkannya dihubungkan secara terus dengan Kementerian Luar negara itu bagi permohonan visa umrah.

Pelaksanaan sistem ini melibatkan caj pada kadar RM45 bagi setiap jemaah, iaitu paling rendah di dunia berbanding negara lain yang mengguna pakai sistem sama seperti Jordan, Mesir dan Sudan.

Mas Ermieyati berkata, sistem IMAMS juga dapat memastikan setiap jemaah turut dilindungi insurans takaful umrah dengan perlindungan yang komprehensif pada kadar premium munasabah iaitu RM40 bagi setiap jemaah.

"Kadar ini adalah terendah di pasaran bagi skim takaful perjalanan yang komprehensif dan memenuhi kehendak kementerian.

"Secara rumusannya, caj keseluruhan yang terlibat bagi penggunaan sistem IMAMS ini dan perlu dimasukkan ke dalam harga umrah sedia ada bagi setiap jemaah, adalah sebanyak RM90.10 (termasuk GST RM5.10)," katanya.

Mengambil kira proses transisi penggunaan sistem IMAMS itu, katanya, kementerian bersetuju memberikan pengecualian bayaran caj pemprosesan tersebut kepada 65 agensi pelancongan berstatus muassasah terbabit bagi permohonan visa umrah yang telah menerima nombor E-MOFA Kementerian Luar Arab Saudi pada dan sebelum 15 Disember.

Menjelaskan mengenai sistem itu, katanya, sebuah pangkalan data dan proses pemantauan induk ke atas pengendalian pakej umrah telah diwujudkan yang turut diintegrasikan dengan pangkalan data Pegawai Pemasaran Umrah berdaftar.

Mas Ermieyati berkata, pangkalan data lengkap Pegawai Pemasaran Umrah yang dilantik secara rasmi oleh agensi pengendalian umrah itu dapat menangani isu penipuan daripada ejen pemasaran tidak sah dan palsu.

Katanya, IMAMS juga menyediakan platform bagi permohonan kelulusan iklan pakej umrah sebagai menghalang penyebaran iklan-iklan meragukan dan mengelirukan yang bertujuan memperdaya orang awam.

Beliau berkata, sistem itu juga memberi akses kepada semua pihak berkepentingan khususnya jemaah umrah sendiri untuk menyemak status semasa tempahan mereka serta notifikasi secara berkala berkaitan penerbangan, penginapan, permohonan visa dan insurans takaful.

Bagi memudahkan agensi pelancongan mendapatkan bantuan berkaitan penggunaan dan pembayaran sistem IMAMS, kaunter khidmat bantuan di Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur turut disediakan bermula hari ini, katanya.

Pusat khidmat panggilan setempat IMAMS turut beroperasi 24 jam di talian 1800-88-4626 atau 03-22424440.

Mas Ermieyati berkata, jemaah umrah dan anggota keluarga mereka juga boleh mendapatkan bantuan secara langsung dengan melayari laman sesawang support.imams.com.my atau menghantar pertanyaan melalui emel kepada [email protected].

Sementara itu, Kaunselor Kedutaan Arab Saudi di Malaysia, Fawaz Tanaf Alotaibi yang turut serta dalam sidang media tersebut berkata kedutaan itu menyokong pelaksanaan sistem IMAMS itu bagi memastikan tadbir urus jemaah umrah di Malaysia lebih sistematik.

“Kami menyokong penuh inisiatif kerajaan Malaysia ini bagi memastikan rakyat Malaysia sentiasa dilindungi dan hak mereka dijaga,” katanya.

Statistik kementerian menunjukkan terdapat 75 kes penipuan pakej umrah pada tahun ini hingga Oktober lepas, manakala statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh sama pula mencatatkan kerugian akibat penipuan itu berjumlah RM1.4 juta.

-- BERNAMA