Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar umat Islam mengambil peluang di bulan Ramadan untuk meneguhkan ketakwaan dalam diri serta memperbanyakkan ibadah dan amalan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata Al-Sultan Abdullah turut menyeru umat Islam untuk mengimarahkan pada bulan yang mulia ini dengan pelbagai bentuk pengisian yang bermakna dan amal soleh.

“Umat Islam negara ini diseru mengimarahkan seluruh bulan yang mulia ini dengan pelbagai bentuk pengisian yang bermakna dan amal soleh yang digandakan berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar umat Islam memperkukuhkan ukhuwah sesama insan dan bersatu hati serta mengambil berat terhadap masyarakat sekeliling.

“Semoga kehadiran bulan yang mulia ini turut disambut dengan rasa insaf dan bersyukur di atas ujian serta rahmat dan nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Fadil, Al-Sultan Abdullah turut bertitah agar umat Islam, khususnya petugas barisan hadapan untuk terus tabah menjalani ibadah berpuasa di dalam suasana dan tatacara kebiasaan baharu bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19.


“Umat Islam turut dinasihati mengharungi ujian ini dengan sabar dan memainkan peranan membantu usaha-usaha baik pihak berkuasa dengan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengutamakan keselamatan diri, keluarga dan kesejahteraan komuniti.

“Umat Islam diseru untuk mengambil peluang bersempena bulan Ramadan yang akan diraikan bersama keluarga tersayang di rumah masing-masing. Langkah ini dapat membantu kita menjaga dan melindungi ahli keluarga yang berusia dan anak-anak kecil daripada dijangkiti penyakit COVID-19 ini.

“Semoga trend pengurangan kes-kes positif baharu dan penambahan kes-kes pulih berterusan supaya lengkungan kes positif COVID-19 dapat diratakan dengan pantas,” katanya.

Justeru, baginda dan permaisuri, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah berpuasa kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

Seri Paduka Baginda Berdua turut menzahirkan harapan agar umat Islam mengambil keberkatan Ramadan Al-Mubarak ini bersama baginda berdua untuk berdoa semoga Malaysia terus dilindungi dan dirahmati serta pandemik ini dapat dibendung dan diakhiri dengan segera.

Tambah Ahmad Fadil, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Tiga, Seri Paduka Baginda Berdua dan Istana Negara dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya tidak menghadiri serta menganjurkan sebarang bentuk majlis sepanjang Ramadan Al-Mubarak demi keselamatan rakyat.