KUALA LUMPUR: Semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara diminta memainkan tanggungjawab menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat, bulan depan.

Pakar Perunding Kesihatan Awam, Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman, berkata RUU tersebut perlu diluluskan bagi mengimbangi kesan nikotin terhadap kesihatan awam berikutan keputusan kerajaan mengeluarkan cecair rokok elektronik atau vape yang mempunyai nikotin itu daripada Akta Racun 1952.

Lokman Hakim berkata usaha kerajaan mengenakan cukai ke atas cecair vape yang mempunyai nikotin dengan pengecualian daripada Akta Racun adalah baik namun terdapat kebimbangan ia akan mendedahkan rakyat kepada pengambilan nikotin tanpa kawalan tanpa adanya RUU tersebut.

"Kita bimbang apa akan jadi kalau RUU itu tidak lulus di Parlimen sedangkan nikotin telah dikeluarkan daripada jadual dalam Akta Racun 1952. Ia beri banyak implikasi dalam konteks kawalan penjualan, khususnya kepada kanak-kanak atau mereka yang belum cukup umur.

"Demi masa depan generasi akan datang, setiap wakil rakyat dan senator mempunyai tanggungjawab moral meluluskan RUU ini bagi menjamin satu peraturan atau kawal selia lebih tegas dan menyeluruh dapat dilaksanakan kerana kita semua sedar impak serta beban tabiat merokok dan menghisap vape adalah sangat berat," katanya kepada Bernama.

Lokman Hakim, yang juga Timbalan Naib Canselor Penyelidikan Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU). mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam, yang memberi jaminan RUU baharu bagi mengawal selia semua produk merokok termasuk bahan merokok yang mengandungi nikotin tidak akan dilengahkan dan dibentangkan Mei ini.

Menurut Anwar pelaksanaan RUU itu tertangguh disebabkan mendapat banyak reaksi negatif daripada Ahli Parlimen.

Mengulas lanjut, Lokman Hakim berharap kerajaan mempunyai pendekatan atau perancangan yang menyeluruh bagi memastikan tindakannya mengeluarkan cecair vape bernikotin daripada Akta Racun itu tidak membawa implikasi buruk jangka panjang kepada rakyat daripada aspek kesihatan dan ketagihan nikotin sehingga RUU tersebut dibawa dan diluluskan di Parlimen kelak.

Menurutnya. RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 bersama Dasar Generasi Penamat (GEG) yang tertangguh pembentangannya di Parlimen merupakan satu dokumen yang cukup komprehensif, antara lain dirangka untuk memperkukuh kawalan tembakau dan melindungi generasi muda daripada terjebak dengan tabiat merokok dan vape.

"Kita kena ingat, pendaftaran Kastam hanya untuk mengutip cukai ke atas cecair vape ini...bagaimana nak kawal penjualan jika tiada undang-undang mengawal vape. Sebab itu, negara amat perlukan RUU ini," kata Lokman Hakim yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan.

RUU Kawalan Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama dan kedua pada Julai dan Ogos tahun lepas.

-- BERNAMA