Tahun 2014 menyaksikan banyak program hiburan ditangguhkan bagi menghormati keluarga mangsa dalam tragedi besar yang melanda dua pesawat milik Syarikat Malaysia Airlines (MAS) iaitu pesawat MH370 dan pesawat MH17.

Dua tragedi itu - pesawat MH370 yang hilang dari radar pada 8 Mac manakala pesawat MH17 ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai telah begitu memberi kesan mendalam bukan sahaja kepada negara, malah kepada dunia seni yang memperlihatkan banyak aktiviti hiburan tahun ini telah dikurangkan demi menghormati dua tragedi tersebut.

Paling mengejutkan pelakon tempatan, Shuba Jaya bersama suami dan anaknya adalah antara mangsa nahas pesawat MH17.

Tunda acara

Antara yang paling awal membatalkan program yang telah dirancang adalah, pelakon dan penyanyi Maya Karin yang telah menangguhkan majlis perlancaran album terbarunya Teka-Teki yang dijadualkan pada 25 Mac sebagai tanda dukacita atas tragedi yang berlaku.

Begitu juga dengan penyanyi terkenal Anuar Zain, yang telah mengambil keputusan menundakan persembahan ‘Minggu Setiausaha...Terindah’ pada 8 April.

Lisa Surihani, Maya Karin, Anuar Zain -Foto Facebokk Anuar Zain, Maya Karin, Lisa Surihani


Anuar yang juga bekas pramugara MAS mengakui bahawa anak-anak kapal yang terlibat dalam nahas berkenaan adalah antara rakan-rakannya.

Manakala pelakon Lisa Surihani juga mengambil langkah yang sama dengan meminta pihak produksi ‘E-News’ menunda episod istimewa mengenai dirinya demi memberi penghormatan kepada insiden MH370.

Selain itu, Festival Filem Malaysia yang ke 26 turut ditangguhkan kepada 1 November sebagai tanda simpati terhadap mangsa tragedi MH17.

Portal berita hiburan Astro Gempak juga dihentikan buat sementara waktu bagi menghormati perasaan ahli keluarga penumpang pesawat.

Tribute

Sebaliknya, aktiviti-aktiviti hiburan pada tahun ini banyak telah digantikan dengan majlis-majlis solat hajat dan juga nyanyian tribute artis tempatan buat tragedi yang berlaku.

Malah, Astro Radio turut melancarkan slot khas mengenang MH370. Kesemua stesen radio di Astro telah ditukar nama rangkaian kepada MH370.FM sepanjang siaran 21 jam itu.



















Bukan sahaja artis tempatan, malah penyanyi luar negara Christina Aguilera turut menunjukkan rasa simpati dan telah mendedikasikan sebuah lagu dalam persembahan ‘The Voice Within’ untuk tragedi MH370.

Kurang sensitif

Namun begitu, di sebalik kejadian yang menyedihkan ini, ada selebriti yang ditempelak ramai kerana bertindak memuatnaik status dan gambar yang dikatakan kurang peka dengan situasi yang dihadapi negara.

Pelakon dan Presiden Persatuan Seniman Zed Zaidi memuatnaik status seolah-olah memperlekehkan berita kehilangan MH370 dengan gurauannya.

Sementara itu, Chef selebriti, Datuk Chef Wan melalui akaun Instagramnya berjenaka tentang penemuan serpihan bangkai pesawat.

Begitu juga dengan Future Music Festival Asia 2014 yang kebetulan diadakan ketika insiden MH370 melanda negara.

Acara tahunan itu tetap diteruskan sehinggalah ia dibatalkan ekoran enam remaja termasuk tiga gadis maut disyaki akibat mengambil dadah berlebihan hingga mengalami sesak nafas di acara tersebut.

Sehubungan dengan itu, festival berkenaan mengumumkan bahawa acara tahunan ini bakal berhijrah ke Singapura pada tahun 2015.

Banjir

Bencana banjir bagai satu ujian penutup buat tahun 2014. Tahun ini menyaksikan mangsa-mangsa banjir dari negeri Pantai Timur khususnya adalah yang paling tinggi jumlahnya iaitu lebih dari 200,000 mangsa.

Rakan-rakan artis tidak terlepas untuk beramal dan bersama-sama menghulurkan bantuan menolong mengumpulkan sumbangan kepada mangsa banjir.






HLive!

Pada tahun ini juga, Astro telah melancarkan program baru HLive! yang merupakan program hiburan terbaru bagi menggantikan Gala TV di Astro Ria.

Program berbentuk infotainment itu adalah bagi mengukuhkan lagi kedudukan Astro Ria sebagai sebuah saluran terkini dan sensasi tentang segala yang berlaku dalam dunia hiburan.

Program HLive! bersiaran secara langsung sebanyak dua kali sehari pada setiap Isnin hingga Sabtu, pukul 1.00 petang dan 8.30 malam bermula 26 Mei secara eksklusif di Astro Ria (104) dan siaran serentak di Maya HD (135).

Manakala program HLive! Apa Kata Malaysia yang diterajui oleh Datuk Aznil Haji Nawawi memulakan siaran langsung pada setiap hari Ahad, pukul 8.30 malam bermula 25 Mei 2014.


Belasungkawa

Negara turut dikejutkan dengan pemergian penggiat-penggiat seni yang banyak berjasa kepada negara. Semoga yang telah pergi dicucuri rahmat oleh - Nya.
belasungkawa 2014