NORTHROP Grumman B-21 Raider ialah pesawat pengebom terkini Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) yang diperlihatkan kepada umum pada tahun 2022.

Dengan rekaan “sayap terbang” ia mempunyai kemampuan unik sukar dikesan radar walaupun bersaiz besar.

Pada November tahun lalu ujian penerbangan pertama dilakukan tetapi tidak didedahkan kepada umum.

Selepas enam bulan barulah USAF berkongsi imej rasmi B-21 Raider melakukan penerbangan pertama.

B-21 Raider masih lagi dalam fasa ujian bagi menyelesaikan isu operasi dan melihat kemampuannya.

Sekilas pandang, B-21 nampak sama sahaja dengan pesawat pengebom B-2 Spirit tetapi ia lebih sukar dikesan radar serta direka untuk beroperasi di siang hari.

Oleh sebab itu, warna kelabu digunakan dan bukannya hitam seperti B-2 dan F-117.

 - Foto Amanz

Kesemua bom disimpan di dalam perut pesawat di mana ia boleh membawa bom konvensional, pintar dan juga nuklear.

USAF mempunyai komitmen membeli sekurang-kurangnya 100 pesawat.

Apabila memulakan operasi kelak, B-21 Raider dijangka akan berkhidmat sehingga 30 tahun dengan kos keseluruhan program mencecah $240 bilion.

Pada waktu tersebut ia akan menggantikan pesawat B-2 Spirit, B-1 Lancer dan B-52 Stratofortress sebagai pesawat pengebom utama USAF.