Jabatan Imigresen Malaysia menafikan dakwaan telah memberi layanan buruk kepada seorang wanita warganegara New Zealand, Natalie Lowrey ketika proses penghantaran balik ke Bali, Indonesia.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Aloyah Mamat berkata Lowrey telah dilayan baik sepanjang berada dalam jagaan Imigresen walaupun tersenarai dalam golongan orang-orang yang dilarang masuk Malaysia.

Beliau berkata Lowrey dikeluarkan dengan Notis Penolakan Masuk di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/63.

“Lowrey telah dilayan dengan baik sementara menunggu pihak AirAsia menguruskan penerbangan untuk menghantarnya ke Bali semula.

Penerbangan AirAsia bertanggungjawab untuk menguruskan penerbangan balik dan juga makan minum Lowrey semasa menunggu pesawat” kata Aloyah di dalam satu kenyataan media.

Kata kenyataan itu lagi, pada mulanya, Lowrey enggan dihantar semula ke Bali dan ingin ke Sydney, Australia.

Namun, mengikut prosedur antarabangsa, mereka yang ditolak kemasukannya hendaklah dihantar balik ke lapangan terbang yang dinaikinya semasa hendak masuk ke negara ini dan bukan dihantar ke negara lain.

Walau bagaimanapun, Lowrey yang tiba di KLIA2 pada 31 Ogos telah dihantar semula ke Bali pada 1 Sept dengan penerbangan AirAsia QZ 551 jam 9.45 pagi.

Sebuah portal sebelum ini melaporkan Lowrey telah dilayan dengan buruk serta tidak diberi makanan dan minuman sepanjang pengurusan penghantaran semula beliau ke Bali.