Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan pegawainya melakukan kekerasan dengan menampar seorang pekerja warga Indonesia ketika operasi bersepadu dijalankan di Seberang Prai, Pulau Pinang semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata sebaliknya pegawai yang terlibat hanya menepuk tempat duduk pekerja itu selepas berlakunya provokasi.

“Semasa pemeriksaan dibuat, ada dalam kalangan pekerja Indonesia ini tidak membawa dokumen. Jadi apabila soalan dilontarkan, elemen-elemen provokasi ditimbulkan. Maknanya mereka enggan memberikan kerjasama. Ini maklumat awal yang saya peroleh.

Bagaimanapun, Khairul berkata beliau tetap mengarahkan Pengarah Imigresen Pulau Pinang menjalankan siasatan.

 Rakaman video berdurasi 28 saat tular dalam kalangan netizen warga Indonesia di Facebook.

Ditanya adakah pekerja warga Indonesia itu tidak memiliki dokumen sah, beliau berkata dokumen mereka disimpan oleh majikan.

“Kita kemudiannya melepaskan semua selepas majikan membawa dokumen mereka ke Jabatan Imigresen,” katanya.

Terdahulu, seorang pengguna Facebook dipercayai warga Indonesia dengan nama Dewi Kholifah memuat naik video berkenaan yang berdurasi 28 saat dengan lapan keping gambar ketika operasi bersepadu dijalankan.

Dewi Kholifah membuat dakwaan petugas Imigresen Malaysia menampar pekerja warga asing Indonesia sambil mengeluarkan perkataan tidak sewajarnya.

Dalam pada itu, Khairul berkata, adalah menjadi lumrah JIM menerima provokasi daripada warga asing.

“Saya sering berpesan kepada pegawai-pegawai Imigresen supaya terus profesional. Provokasi itu selagi tidak melibatkan penggunaan kekerasan fizikal, mereka mesti tidak melayan provokasi-provokasi berkenaan,” katanya.