Imigresen tahan 17 warga asing dipercayai terlibat aktiviti pelacuran di Klang

Modus operandi kegiatan adalah dengan menyediakan tempat penginapan bagi wanita warga asing dan menjalankan aktiviti tidak bermoral itu dengan berselindung di sebalik nama syarikat pengurusan hartanah. - Foto FB Jabatan Imigresen Malaysia
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 17 warga asing dalam serbuan Operasi Penguatkuasaan di sebuah rumah kedai tiga tingkat yang dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran di kawasan Klang Sentral, Selangor malam tadi.
Ringkasan AI
- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 17 warga asing dalam serbuan Operasi Penguatkuasaan di rumah kedai tiga tingkat di Klang Sentral, Selangor.
- Warga asing terbabit, termasuk lapan lelaki Bangladesh dan sembilan perempuan Vietnam, ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tinggal lebih masa dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
- Kegiatan pelacuran diselindungi di sebalik nama syarikat pengurusan hartanah, dengan keuntungan sehingga RM600 sehari bagi wanita terlibat.
Beliau berkata dalam operasi yang dijalankan pada 10.25 malam itu, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Perkara 39(b) Peraturan Imigresen 1963.
"Jabatan Imigresen turut mengeluarkan satu saman kepada saksi (Borang 29) terhadap seorang pelanggan di lokasi tersebut," katanya.
Zakaria berkata modus operandi kegiatan adalah dengan menyediakan tempat penginapan bagi wanita warga asing dan menjalankan aktiviti tidak bermoral itu dengan berselindung di sebalik nama syarikat pengurusan hartanah serta import eksport seperti dipamerkan menerusi papan tanda di luar bangunan tiga tingkat itu.
"Sarang pelacuran ini diuruskan oleh seorang lelaki warga Bangladesh yang bertindak sebagai 'kapten' atau penjaga premis dengan sasaran mereka adalah daripada kalangan warga asing yang berada di kawasan berhampiran dengan lokasi ini," katanya.
Beliau berkata seorang pelanggan warga asing yang ditahan mengaku membayar antara RM50 hingga RM80 kepada "kapten" bagi setiap sesi perkhidmatan seks yang ditawarkan, dengan anggaran keuntungan yang diperoleh setiap wanita warga asing terbabit antara RM400 hingga RM600 sehari bergantung pada jumlah pelanggan.
"Siasatan awal mendapati 'kapten' telah diupah untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral ini oleh seorang lelaki warga tempatan yang dikenali sebagai 'Kevin'. Hasil penggeledahan di dalam setiap bilik wanita turut menemukan sebilangan besar alatan untuk menjalankan kegiatan seks seperti kondom dan gel pelincir pelbagai jenama," katanya.
Zakaria berkata kesemua warga asing kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen, di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami



