Skip to main content

Malaysia

Impak konflik Iran-AS dinilai secara menyeluruh - Akmal Nasrullah

Sumber: Shahir Omar
Mohd Akmal Nasrullah (foto) berkata kementerian sentiasa memantau perkembangan geopolitik global bagi memastikan sebarang kesannya terhadap ekonomi negara dapat ditangani dengan berkesan. -Foto Astro AWANI/ Shahir Omar

PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi menilai secara menyeluruh kesan konflik di antara Iran dan Amerika Syarikat, bukan hanya dari sudut kenaikan harga minyak, tetapi juga implikasi terhadap inflasi, rantaian bekalan dan kos pengangkutan.

Menterinya, Mohd Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kementerian sentiasa memantau perkembangan geopolitik global bagi memastikan sebarang kesannya terhadap ekonomi negara dapat ditangani dengan berkesan.

Advertisement

"Dalam menguruskan keadaan ketika berlakunya konflik di Iran, antara elemen yang terkesan secara langsung ialah bekalan minyak serta harga pasaran.

"Hal ini lebih rapat dengan Kementerian Kewangan kerana melibatkan isu subsidi dan mekanisme fiskal.

"Namun, kesan konflik ini tidak terhad kepada kenaikan harga minyak semata-mata.

"Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, kesannya bergantung kepada intensiti konflik dan tempoh ia berlarutan.

"Setakat ini, indikasi yang dilihat menunjukkan konflik tersebut belum menampakkan tanda akan berakhir dalam masa terdekat.

"Malah, berakhirnya konflik tidak semestinya membawa keadaan kembali normal dengan segera kerana ada perkara yang memerlukan masa lebih panjang untuk pulih," katanya.

Akmal berkata demikian kepada pemberita Majlis Peluncuran Sistem MyRMK (Sistem Pemantauan Pelan Pelaksanaan Dasar) di bawah RMK13 di Putrajaya pada Khamis.

Menurut Akmal, meskipun konflik tersebut belum menunjukkan tanda akan berakhir dalam masa terdekat, Kementerian Ekonomi mengambil pendekatan menyeluruh dengan menilai impak jangka pendek, sederhana dan panjang terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

"Kementerian berkaitan mempunyai peranan operasi dan mitigasi masing-masing, manakala Kementerian Ekonomi berfungsi sebagai pemantau utama bagi memastikan keseimbangan ekonomi negara terus terpelihara.

"Kita sentiasa menekankan bahawa apa jua langkah yang diambil perlu dilihat secara menyeluruh agar ekonomi negara kekal stabil,” katanya.

Must Watch Video