MALAYSIA
IMT-GT disaran perkasa pelancongan maritim serantau

Hamidin berkata walaupun kawasan ini berdekatan secara geografi, ia masih kurang terhubung dalam aspek pelancongan maritim. - Gambar Facebook Centre for IMTGT - CIMT
JAKARTA: Indonesia, Malaysia dan Thailand perlu meningkatkan kerjasama bagi memperkasa pelancongan maritim dalam kawasan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) dengan memperkukuh perkhidmatan pelayaran dan feri, kata seorang pakar agensi sempadan.
Hamidin, anggota Kumpulan Pakar di Agensi Pengurusan Sempadan Nasional Indonesia berkata walaupun kawasan ini berdekatan secara geografi, ia masih kurang terhubung dalam aspek pelancongan maritim.
Beliau berkata laluan laut pendek yang boleh menghubungkan pantai timur Sumatera dengan Malaysia dan Thailand masih kurang dibangunkan. Sebahagian besar perkhidmatan sedia ada lebih tertumpu kepada pekerja dan peniaga.
"Dengan budaya bersama dan potensi pelancongan bertaraf dunia, rantau IMT-GT memiliki aset penting untuk menjadi destinasi utama di Asia Tenggara. Namun, keterhubungan kekal sebagai pautan yang hilang," katanya dalam artikelnya bertajuk Close Neighbours, Distant Links.Menurut Hamidin, jadual pelayaran masih dikuasai oleh Pelabuhan Klang dan Singapura, manakala pelabuhan di Sumatera seperti Kuala Tanjung kini hanya berfungsi sebagai pelabuhan persinggahan dan bukan titik berlepas utama.
Malah, pengangkutan laut rentas sempadan masih banyak bergantung pada feri laju bagi mobiliti pekerja dan perdagangan. Laluan seperti Belawan-Pelabuhan Klang dan Dumai-Melaka masih kurang dimanfaatkan untuk pelancongan.
Beliau menekankan peluang pembangunan pelayaran serantau, dengan menamakan Belawan berhampiran Danau Toba, Dumai yang bertentangan dengan Melaka, dan Batam di Kepulauan Riau sebagai pintu masuk berpotensi sekiranya pelancongan dijadikan keutamaan dalam inisiatif IMT-GT.
Malaysia dengan Pulau Pinang, Melaka dan Pelabuhan Klang, serta Thailand dengan Phuket dan Krabi, turut menawarkan prospek kukuh dalam pelancongan kapal persiaran.
Hamidin mencadangkan jadual tetap seperti Kuala Tanjung-Pelabuhan Klang-Phuket atau Dumai-Melaka-Krabi, di samping pakej "IMT-GT Island Hopping" yang menghubungkan Batam, Pulau Pinang dan Phuket.
Kerjasama bandar kembar juga boleh dipromosikan, seperti Medan-Pulau Pinang bagi pelancongan kulinari dan kesihatan, Dumai-Melaka untuk tarikan sejarah dan maritim, serta Batam-Phuket bagi resort dan aktiviti Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE).
Bagi menyokong usaha ini, beliau menyeru pembangunan terminal penumpang moden dengan perkhidmatan imigresen pantas dan visa ketibaan maritim, selain penjenamaan bersama di bawah inisiatif "IMT-GT Maritime Cruise".
IMT-GT ditubuhkan pada 1993 di Langkawi untuk menyediakan rangka kerja subserantau bagi mempercepat kerjasama dan integrasi ekonomi antara negara anggota serta wilayah di tiga negara itu.
Ia menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang diterajui sektor swasta serta menyokong pembangunan menyeluruh subserantau dengan memanfaatkan pelengkap dan kelebihan perbandingan negara anggotanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami