KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) bagi perkhidmatan Penginapan dan Aktiviti Perkhidmatan Makanan dan Minuman meningkat 2.1 peratus pada suku tahun pertama 2022.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan perkhidmatan itu menjadi pendorong kepada peningkatan 0.6 peratus bagi keseluruhan IHRPP kepada 110.9 berbanding 110.2 pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata IHRPP bagi industri Keseniaan, Hiburan dan Rekreasi turut meningkat 1.2 peratus.

"Kenaikan bagi indeks Restoran dan Aktiviti Perkhidmatan Makanan Bergerak (2.6 peratus) mendorong kepada kenaikan indeks Penginapan dan Perkhidmatan Makanan dan Minuman.

"Seterusnya, kenaikan harga bahan mentah seperti ayam dan telur, sedikit sebanyak telah menaikan harga dalam Perkhidmatan Makanan dan Minuman," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi subsektor Kesenian, Hiburan dan Rekreasi, Mohd Uzir berkata kenaikan itu didorong terutamanya oleh harga yang lebih tinggi bagi Aktiviti Hiburan dan Rekreasi Lain iaitu 1.5 peratus.

"Subsektor lain yang merekodkan kenaikan adalah Pendidikan (0.6 peratus) dan Pengangkutan (0.3 peratus), manakala Aktiviti Hartanah, Profesional dan Kesihatan masing-masing meningkat 0.2 peratus.

"Bagaimanapun, indeks Maklumat dan Komunikasi kekal tidak berubah,"  katanya.

Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, IHPRP meningkat kepada 0.2 peratus yang disumbangkan oleh subsektor Kesenian, Hiburan dan Rekreasi (2.5 peratus), Penginapan dan Aktiviti Perkhidmatan Makanan dan Minuman (1.0 peratus) dan Pendidikan (0.5 peratus).

"Kenaikan dalam subsektor Kesenian, Hiburan dan Rekreasi disumbangkan terutamanya oleh Aktiviti Perjudian dan Pertaruhan dimana meningkat sebanyak 2.9 peratus.

"Indeks bagi subsektor Profesional dan Kesihatan masing-masing mencatatkan sedikit peningkatan sebanyak 0.1 peratus," jelasnya.

Namun begitu, ujar beliau indeks bagi Pengangkutan mencatatkan penurunan sebanyak 0.9 peratus disebabkan oleh penurunan bagi Pengangkutan Penumpang Udara (-4.5%), manakala indeks bagi subsektor Maklumat dan Komunikasi serta Aktiviti Hartanah kekal tidak berubah.