KUALA LUMPUR: Guru tadika, M Indira Gandhi dan 13 yang lain gagal dalam saman pemula (OS) di Mahkamah Tinggi, di sini, pada Jumaat, untuk mencabar kesahihan undang-undang syariah di enam negeri dan satu Wilayah Persekutuan berkaitan penukaran agama kanak-kanak kepada Islam secara sebelah pihak.
Hakim, Datuk Aliza Sulaiman memutuskan demikian selepas mendapati permohonan semua plaintif tidak mempunyai locus standi atau gagal membuktikan bahawa mereka mempunyai hak di sisi undang-undang.
Semasa membaca keputusan dalam prosiding yang dibuat secara dalam talian, beliau berkata, plaintif gagal menunjukkan mereka terkesan secara langsung oleh peruntukan yang dipertikaikan itu.
“Plaintif gagal menunjukkan yang mereka mempunyai kepentingan untuk mendapatkan perisytiharan antaranya peruntukan undang-undang Islam di tujuh bidang kuasa yang membenarkan penukaran agama kanak-kanak oleh salah seorang ibu atau bapa yang beragama Islam, tidak berperlembagaan,” katanya.
Mereka memohon peruntukan dalam enakmen Islam di Johor, Perlis, Kedah, Negeri Sembilan, Perak, Melaka dan Wilayah Persekutuan dibatalkan, dengan alasan ia bercanggah Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan dan penghakiman Mahkamah Persekutuan pada tahun 2018 dalam kes Indira Gandhi.
Mereka juga memohon perisytiharan bahawa penukaran agama secara sebelah pihak yang dilakukan selepas keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan, tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Walaupun syarat itu direndahkan dan mereka hanya dianggap sebagai individu serta persatuan yang prihatin terhadap kepentingan awam, saya tidak dapat melihat bahawa mereka mempunyai sebarang kepentingan dalam perkara ini,” katanya.
Pada Mac 2023, Indira dan 13 yang lain sebagai plaintif, memfailkan saman itu untuk membatalkan penukaran agama secara unilateral di enam negeri yang melibatkan Kerajaan Negeri Johor, Perlis, Melaka, Kedah, Negeri Sembilan dan Perak, serta Wilayah Persekutuan.
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bertindak sebagai pencelah dalam saman pemula itu.
Dalam OS itu, plaintif mendakwa enakmen negeri bercanggah dengan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan, sebagaimana yang ditafsirkan dalam kes Indira pada 2018 tentang penukaran agama secara unilateral.
Perkara 12(4) memperuntukkan bahawa agama seseorang yang berumur 18 tahun ke bawah hendaklah ditentukan oleh ‘ibu bapa atau penjaga‘.
Dalam kes itu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa perkataan ‘ibu bapa‘ dalam peruntukan berkenaan hendaklah ditafsirkan sebagai ‘ibu bapa‘ sekiranya mereka masih hidup, justeru kebenaran ibu bapa diperlukan dalam kes penukaran agama.
Plaintif berkata menurut Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan, undang-undang Persekutuan mengatasi mana-mana undang-undang negeri yang tidak selaras dengannya.
Sehubungan dengan itu, mereka perlu menegaskan bahawa enakmen negeri yang membenarkan penukaran agama secara unilateral harus diisytiharkan terbatal. -Sinar Harian