KUALA LUMPUR: Industri hartanah perlu mengutamakan pemeliharaan ekologi berbanding amalan pembersihan tanah secara konvensional dalam pembangunan masa depan selaras dengan agenda pembandaran mampan Malaysia.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pendekatan itu semakin penting ketika pusat-pusat bandar di Malaysia terus berkembang pesat, sekali gus memerlukan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, pemeliharaan alam sekitar dan kebolehdiaman jangka panjang.
“Apabila bandar-bandar kita terus berkembang, cabaran dihadapi kini bukan lagi sekadar menyediakan lebih banyak perumahan, tetapi mewujudkan ruang komuniti yang inklusif, selamat dan selesa, di samping mengimbangi pertumbuhan ekonomi, pemeliharaan alam sekitar serta kebolehdiaman jangka panjang.
“Kita bukan sahaja mahu membina bandar yang boleh didiami, tetapi juga bandar lestari yang mesra, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG),” katanya ketika melancarkan Botanik Point Nature Reserve, di sini, pada Selasa.
Nga berkata, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan kelestarian sebagai teras agenda pembangunan negara menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk Majlis Ekonomi Kitaran Nasional, Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia serta projek sisa kepada tenaga (WtE).
Beliau berkata, kementerian itu turut mengintegrasikan teknologi hijau termasuk pemasangan panel solar dalam projek perumahan awam bagi memastikan agenda pembandaran mampan kekal inklusif dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Malaysia antara 27 negara yang diiktiraf PBB sebagai negara biodiversiti mega. Khazanah ini perlu dipelihara dan kerajaan menanam 115 juta pokok sebagai sebahagian daripada usaha melindungi alam sekitar,” katanya.
Nga yang juga Presiden Perhimpunan UN-Habitat berkata, Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam memperjuangkan pembangunan bandar mampan di peringkat global menerusi kerjasama dan perkongsian pengetahuan dengan bandar-bandar di seluruh dunia.
Mengenai pelancaran Botanik Point Nature Reserve hari ini, beliau berkata, projek itu menunjukkan bagaimana kerjasama antara pelbagai pihak berkepentingan dapat diterjemahkan kepada pembangunan yang menyokong agenda kemampanan dan daya tahan bandar.
Beliau berkata, projek itu juga selaras dengan agenda kemampanan dan daya tahan bandar Malaysia serta menyumbang kepada matlamat UN SDG, khususnya SDG 11 mengenai Bandar dan Komuniti Mampan, SDG 13 mengenai Tindakan Iklim dan SDG 15 mengenai Kehidupan di Darat.
Nga turut memuji Urban Hallmark Properties Sdn Bhd kerana mempelopori falsafah pembangunan yang mengutamakan pemeliharaan berbanding pembersihan tanah, dengan hampir 30 peratus kawasan pembangunan dikekalkan sebagai ekosistem hutan sekunder.
“Kelestarian tidak seharusnya dianggap sebagai perkara sampingan atau ciri tambahan semata-mata.
"Sebaliknya, ia perlu diterapkan dalam DNA perancangan pembangunan itu sendiri,” katanya sambil menyatakan harapan agar Botanik Point menjadi inspirasi kepada pemain industri lain untuk mengamalkan prinsip pembangunan lebih responsif terhadap alam sekitar.
-- BERNAMA