LAWAS: Perjalanan kira-kira tiga kilometer (km) dari jalan utama menuju ke Stesen Penternakan Kerbau Meragang di sini, menimbulkan persoalan terutamanya buat mereka yang pertama kali melalui jalan sempit itu.

Keadaan jalan berbatu menyelusuri kawasan berbukit tidak langsung menunjukkan sebarang petanda terdapat kawasan menarik di situ sehinggalah pelawat tiba di pintu masuk stesen yang terletak di Merapok kira-kira 27 km dari Bandar Lawas.

Laluan masuk tersebut seakan-akan 'pintu gerbang' ke lembah hijau seluas 200 hektar yang mirip dengan kawasan Kundasang di Sabah.



Berbeza dengan lokasi terkenal Negeri di Bawah Bayu yang berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu dengan pemandangan lembu meragut rumput, stesen itu menempatkan ternakan kerbau sinonim dengan kawasan Lawas.

Ditubuhkan pada 1991, stesen beroperasi sebagai pusat pembiakan, latihan dan penyelidikan itu, kini menempatkan lebih 300 ekor kerbau sawah yang turut digunakan untuk program pembiakan secara 'pawah' oleh kerajaan Sarawak.

Melihat kepada potensi besar stesen itu serta industri ternakan kerbau secara keseluruhannya, kerajaan Sarawak melalui Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) telah memperuntukkan RM15 juta bagi menaik taraf termasuk membina sebuah kilang pemprosesan keju mozzarella berasaskan susu kerbau di stesen tersebut.



Selain kilang, projek yang kini dalam proses tender dan dijangka siap pada 2024 itu juga bakal menempatkan bangunan lain seperti rumah pekerja serta tempat penyimpanan keju.

Bagi menjayakan projek itu, kerbau jenis baka Murrah yang dapat menghasilkan susu dengan banyak akan diimport dari India dan Pakistan, menurut Penolong Pegawai Veterinar Kanan Pejabat Veterinar Daerah Lawas, Robine Asut.

"Menjelang 2024, kita sasarkan Stesen Meragang bakal mempunyai lebih 1,000 ekor kerbau jenis Murrah dan menjelang 2025 kilang pemprosesan keju kita dapat beroperasi dengan kapasiti tinggi.

"Kita juga akan mempelbagaikan produk keluaran seperti mengeluarkan susu segar dan yogurt selain juga melihat kepada aspek agropelancongan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.



Robine berkata baka kerbau Murrah juga bakal diperkenalkan kepada penternak tempatan agar mereka boleh turut serta dalam projek keju mozzarella tersebut.

"Susu kerbau yang mereka perah nanti boleh dibawa dan dijual di kilang kita atau kita akan buat pusat pengumpulan untuk kita kumpul susu. Ini satu bentuk kekayaan baharu buat penternak kita.

"Penternak nanti akan mempunyai dua pendapatan, pertama ialah susu iaitu 'emas putih' dan kedua ialah daging iaitu 'emas merah', ini transformasi industri yang bakal kita bawa berbanding sekarang mereka hanya bergantung pada penjualan daging sahaja," katanya.

NRDA yang dipengerusikan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah ditubuhkan pada 15 Mac 2018 bagi merangsang pembangunan ekonomi di Daerah Lawas dan Limbang yang keseluruhannya berkeluasan 7,790 km persegi.

Selain kilang pemprosesan keju, NRDA turut mengambil langkah untuk membina sebuah lapangan terbang baharu di kawasan Sundar di sini, yang dianggarkan bernilai kira-kira RM600 juta dalam usaha mengintegrasikan Lawas agar selari dengan pembangunan arus perdana sama seperti kawasan lain di Bumi Kenyalang.

-- BERNAMA