KUALA LUMPUR: Pemain industri marin mahu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memperjelaskan pelaksanaan prosedur deklarasi K8 bagi memastikan pemahaman yang lebih jelas dalam kalangan pemain industri petroleum.
Mereka mendakwa pelaksanaan prosedur itu menimbulkan kekeliruan sehingga menjejaskan kelancaran urusan perniagaan di Pelabuhan Tanjung Langsat.
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy berkata, penjelasan itu penting khususnya berkaitan pelaksanaan prosedur selepas kargo petroleum dipunggah ke dalam tangki simpanan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam urusan operasi dan dokumentasi.
Menurutnya, permohonan penjelasan kepada JKDM dibuat susulan laporan yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini berhubung isu berkaitan dokumentasi dan pergerakan fizikal kargo petroleum di sebuah terminal di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor.
"Saya sudah memaklumkan kepada SPRM, saya turut menghantar e-mel kepada JKDM bagi mendapatkan penjelasan rasmi mengenai pelaksanaan prosedur K8.
"Penjelasan itu penting bagi memastikan pelaksanaan prosedur selepas kargo petroleum dipunggah ke dalam tangki simpanan dapat difahami dengan lebih jelas," katanya kepada pemberita di pekarangan Ibu Pejabat SPRM, di sini pada Selasa.
Antara perkara yang dibangkitkan kepada JKDM ialah status kargo yang diisytiharkan di bawah deklarasi K8 selepas dipunggah ke dalam sistem tangki simpanan, termasuk sama ada ia perlu diasingkan sepanjang tempoh penyimpanan.
Selain itu, kata Jeyenderan, pihaknya turut memohon penjelasan mengenai kaedah pemantauan oleh pihak kastam selepas kargo dipunggah ke tangki simpanan, mekanisme kebolehkesanan (traceability) antara dokumentasi dengan kargo fizikal serta prosedur bagi memastikan kargo yang dieksport selaras dengan deklarasi asal.
"Penjelasan rasmi itu diharapkan dapat membantu memberikan kefahaman yang lebih jelas kepada pemain industri mengenai pelaksanaan sistem K8," katanya.
Jeyenderan berkata, penjelasan itu penting kerana prosedur berkenaan berkait rapat dengan operasi harian industri petroleum, termasuk aspek penghantaran kargo, dokumentasi perdagangan, pembiayaan, perlindungan insurans dan pematuhan kawal selia.
Menurutnya, kejelasan mengenai pelaksanaan prosedur itu juga diyakini dapat membantu meningkatkan keyakinan pemain industri serta pelabur terhadap sektor penyimpanan dan pemindahan petroleum negara.
"Penjelasan rasmi itu penting bagi memastikan semua pihak mempunyai pemahaman yang sama mengenai pelaksanaan prosedur sedia ada. Jika terdapat ruang untuk penambahbaikan, ia boleh dipertimbangkan dari semasa ke semasa," katanya
Beliau berkata, pihaknya akan terus memberi kerjasama kepada SPRM berhubung perkara itu serta berharap maklum balas daripada JKDM dapat membantu memberikan penjelasan yang lebih jelas kepada pemain industri.