PUTRAJAYA: Industri sawit memperuntukkan RM200,000 bagi melaksanakan usaha pemeliharaan dan menjaga habitat orang utan, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Noraini Ahmad.
Beliau berkata usaha yang dilaksanakan melalui Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memelihara habitat haiwan berkenaan.
“Melalui MPOGCF, industri sawit telah menyumbang hampir RM200,000. Sumbangan tersebut menunjukkan bahawa komitmen terhadap pemuliharaan boleh diterjemahkan kepada tindakan yang nyata di lapangan.
“Antaranya termasuklah menyediakan jambatan orang utan bagi menghubungkan habitat yang terpisah serta sebuah bot rondaan untuk membantu renjer menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Orang Utan Sedunia 2026 di sini, hari ini.
Sementara itu, Noraini berkata sebanyak 1,500 peserta telah menyertai program larian bersempena dengan sambutan Hari Orang Utan Sedunia, sekali gus menjadikan penyertaan terbesar sejak sambutan itu mula dianjurkan MPOGCF.
“Penyertaan hari ini bukan sekadar untuk melengkapkan satu larian. Yuran penyertaan yang dikutip akan disalurkan sepenuhnya kepada Tabung Konservasi MPOGCF.
“Sumbangan ini akan digunakan untuk menyokong usaha pemuliharaan orang utan melalui Program Diplomasi Orang Utan (OUDip),” katanya.
Beliau berkata program ini sedang dilaksanakan di Sungai Pin Conservation Area (SPnCA) dalam kawasan perladangan Sawit Kinabalu Group di Kinabatangan, Sabah.
“Sawit Kinabalu Group telah memperuntukkan kira-kira 2,632 hektar di Sungai Pin Estate sebagai kawasan yang mempunyai Nilai Konservasi Tinggi. Kawasan tersebut dianggarkan menjadi habitat kepada 55 ekor orang utan,” katanya.
Dalam sidang media berasingan, Noraini berkata usaha pemeliharaan orang utan pada masa depan tidak seharusnya hanya tertumpu pada satu kawasan, sebaliknya perlu diperluas sekiranya terdapat kawasan lain yang dikenal pasti memerlukan perhatian.
“Fokus memang di Sabah, tetapi sudah semestinya ada tempat-tempat lain sekiranya ada. Kita akan pastikan liputan itu lebih luas, bukan hanya tumpuan di satu tempat sahaja,” katanya.
Noraini turut berharap peruntukan tambahan dapat dipertimbangkan menerusi belanjawan akan datang bagi memperkukuh usaha berkenaan, selain menggalakkan pembiayaan daripada sektor swasta dan orang ramai.
-- BERNAMA