SHAH ALAM: Seorang peniaga warga tempatan didenda RM200,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang semalam, atas tujuh pertuduhan melibatkan aktiviti urus niaga barang tiruan, hasil pelaksanaan Kempen Kita Gempur oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor.
Pengarah KPDN Selangor Muhamad Hanif Asa’ari berkata lelaki berusia lingkungan 30-an itu, didakwa di bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara sehingga tiga tahun bagi individu yang melakukan kesalahan kali pertama.
“Tertuduh mengaku bersalah bahawa pada 21 April 2022, di sebuah premis di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, telah didapati mempunyai kawalan terhadap barangan seperti selipar, pakaian, topi, tali pinggang dan lain-lain aksesori pakaian menggunakan cap dagangan jenama terkenal secara tidak sah.
“Kes ini, kes pertama tahun ini yang membawa kepada nilai denda tertinggi di bawah kesalahan Akta Cap Dagangan 2019 bagi tahun 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata prosiding berkenaan berlangsung di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman, manakala pendakwaan dikendalikan Norhashimah Hasim bersama Khairul Affandi Md Jani yang mewakili pihak pendakwaan KPDN Selangor.
Muhamad Hanif berkata pihaknya komited di bawah Kempen Kita Gempur untuk mempergiat penguatkuasaan, bagi memastikan pematuhan perundangan termasuk memastikan kepentingan awam dan ekosistem ekonomi negara sentiasa diselia secara rapi.
“Kami memberikan amaran keras kepada peniaga, agar tidak memanipulasi hak harta intelek kerana tindakan tidak bertanggungjawab ini, iaitu mencuri hak pemilik cap dagangan sah yang berdaftar dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO),” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah etika dalam urus niaga, diminta menyalurkan aduan lengkap kepada pihak kementerian menerusi saluran rasmi yang telah disediakan termasuk aplikasi WhatsApp menerusi talian 019-848 8000, aplikasi Ez Adu KPDN, portal e-aduan.kpdn dan talian 1-800-886-800.
-- BERNAMA