Skip to main content

Malaysia

Kes semikonduktor: Rafizi serah bukti tambahan kepada SPRM secara sukarela Khamis ini

RAFIZI RAMLI, SPRM
Bukti-bukti tambahan oleh Rafizi itu dijangka akan dapat membantu SPRM melengkapkan siasatan, ujar Nik Zarith kepada Astro AWANI hari ini. - Gambar fail/Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli berhasrat menyerahkan bukti tambahan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara sukarela pada Khamis ini.

Peguamnya, Nik Zarith Nik Moustapha berkata bukti tersebut berkaitan siasatan SPRM berhubung perjanjian pelaburan kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan syarikat semikonduktor berpangkalan di United Kingdom, Arm Holdings plc.

“Dia (Rafizi) datang dengan inisiatif sendiri dan bukan atas permintaan SPRM," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Malah, Nik Zarith turut menjangkakan keterangan Rafizi akan diambil oleh pasukan penyiasat SPRM memandangkan terdapat bukti tambahan yang akan diserahkan.

"Bukti-bukti tambahan itu dijangka akan dapat membantu SPRM melengkapkan siasatan, termasuk pengambilan percakapan-percakapan siasatan daripada beberapa orang individu yang dirujukkan dalam bukti baharu tersebut yang (merupakan) material kepada siasatan kes,” katanya lagi.

Pada minggu lalu bekas Menteri Ekonomi itu memberi keterangan selama empat hari bermula pada Isnin di ibu pejabat SPRM di Putrajaya berhubung kes tersebut.

Menurut Rafizi, proses siasatan hanya menjurus kepada proses dan prosedur dalam membuat keputusan tanpa melibatkan elemen rasuah.

Ahli Parlimen Pandan itu turut menyatakan bahawa kerjasama di antara syarikat tersebut dan kerajaan melibatkan keputusan bersama antara Kementerian Ekonomi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Kewangan.

SPRM turut memaklumkan seramai 22 individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Must Watch Video