KUALA LUMPUR: Inflasi Malaysia meningkat dengan kadar perlahan kepada 3.3 peratus pada April 2023 berbanding 3.4 peratus pada Mac.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, kenaikan inflasi di Malaysia kekal didorong Restoran dan Hotel (6.6 peratus) dan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (6.3 peratus).

Namun begitu, peningkatan lebih perlahan bagi kumpulan Pengangkutan iaitu 2.3 peratus berbanding Mac 2023 (2.4 peratus), sedikit sebanyak mengimbangi inflasi Malaysia daripada terus meningkat lebih tinggi.

Selain itu, wajaran bagi kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (29.5 peratus), Pengangkutan (14.6 peratus) dan Restoran dan Hotel (2.9 peratus) yang meliputi 47 peratus daripada wajaran keseluruhan Indeks Harga Pengguna (IHP) turut memberi impak ketara kepada kadar inflasi dan kos sara hidup.

Selain itu, kenaikan inflasi di Malaysia pada April 2023 turut didorong oleh peningkatan bagi kumpulan Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah (3 peratus); Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan (2.5 peratus); Kesihatan (2.1 peratus) dan Perkhidmatan Rekreasi dan Kebudayaan (1.8 peratus). Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain serta Pendidikan masing-masing merekodkan kenaikan 1.6 peratus.

Kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP telah merekodkan peningkatan sederhana iaitu 6.3 peratus berbanding Mac 2023 pada 6.9 peratus.

Daripada 230 item Makanan dan Minuman, 84.3 peratus merekodkan kenaikan harga berbanding April 2022.

Komponen Makanan di rumah menyederhana kepada 5.0 peratus pada April 2023 berbanding 5.6 peratus yang direkodkan bulan sebelumnya.