Individu yang baru pulang dari luar negara dan gagal mematuhi perintah kuarantin di rumah boleh berdepan tindakan lebih berat termasuk dikenakan penalti di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

Selain itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menempatkan individu berkenaan di pusat-pusat kuarantin.

Langkah tersebut bagi mengawal penularan kes-kes import dengan lebih berkesan.

"Saya juga hendak mengingatkan saudara-saudari yang pulang dari luar negara supaya menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari dengan penuh berdisiplin.

"Duduk di bilik yang berasingan dari ahli keluarga yang lain dan jangan sekali-kali keluar dari rumah sepanjang tempoh kuarantin.

"Anda juga mesti melakukan penilaian status kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera.

"Sekiranya bergejala, maklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran dengan segera," katanya di sini, pada Isnin.

Jelas beliau, kegagalan mematuhi arahan pengasingan tersebut akan menyebabkan, penalti dikenakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, jika disabitkan kesalahan.

Pada masa sama, Muhyiddin memaklumkan kawalan di pintu masuk antarabangsa negara terus diperkukuhkan oleh pihak berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan (KKM).

Antara langkah yang diambil termasuk melakukan saringan suhu badan dan gejala jangkitan saluran pernafasan ketika ketibaan di negara ini.

"(Selain itu), menyemak keputusan saringan PCR COVID-19 yang dilakukan tiga hari sebelum pelawat berlepas ke Malaysia.

"Merujuk kes yang bergejala atau dikesan positif COVID-19 ke hospital, mengeluarkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah di bawah seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 selama 14 hari.

"Memastikan setiap orang yang tiba di Malaysia memuat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera, mewajibkan mereka memakai gelang tangan dan memastikan mereka menjalani ujian pengesanan COVID-19 pada hari ke-13 kuarantin di rumah sebelum diberi pelepasan pada hari ke-14," tambah beliau.