ALOR SETAR: Sebanyak 523 kes daftar masuk ke premis awam membabitkan individu positif COVID-19 yang diarahkan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dikesan di Kedah sejak seminggu lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, 18 peratus daripada keseluruhan kes berkenaan yang dikesan melalui aplikasi MySejahtera melibatkan daftar masuk ke kawasan pasar raya.

Menurutnya, identiti semua mereka sudah dikenal pasti dan tindakan lanjut akan diambil oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) serta Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

"Saya (sebenarnya) sudah maklumkan kepada MB (Menteri Besar Kedah), dalam tempoh seminggu ini sahaja, sebanyak 523 'check-in' MySejahtera yang mana dalam kalangan orang positif (COVID-19), yang sepatutnya diperintah kuarantin di rumah, dan sebenarnya dia tidak boleh keluar, berstatus merah, sama ada positif atau high risk.

"(Jumlah itu membabitkan) 18 peratus yang 'check in' di pasar raya, jadi kita minta pemilik premis supaya buat pengawasan pintu masuk dengan ketat, (jika) individu positif dapat 'check-in' maksudnya pengawal keselamatan di situ tidak check betul-betul, dia lepaskan sahaja tak check betul-betul," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas lawatan kerja dan mesyuarat CITF di Wisma Darul Aman pada Ahad.

Sementara itu, Khairy berkata, sebanyak 1,510 silinder oksigen tambahan dihantar ke Kedah bagi merawat pesakit yang mengalami masalah sesak nafas susulan jangkitan COVID-19 di hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di negeri ini.

Selain itu, 10 katil tambahan yang akan diletakkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) juga telah disiapkan bagi menampung kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital berkenaan, katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap kadar vaksinasi penduduk dewasa bagi dos pertama di negeri ini dapat ditingkatkan terutama membabitkan daerah Baling dan Pendang.