Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 48 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Khamis.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan media pada Jumaat, berkata daripada jumlah itu seramai 47 individu dikenakan kompaun manakala seorang dijamin.

"Antara kesalahan ingkar PKP termasuk 12 kes gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk, tidak memakai pelitup muka (17), premis beroperasi lebih masa (13), langgar perintah kuarantin (1) dan aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (5)," katanya.

Sementara itu, katanya sebanyak 58,050 pemeriksaan telah dilakukan pasukan petugas Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM pada Khamis.

"Sebanyak 3,703 pasar raya, restoran (4,955), penjaja (1,255), kilang (1,137), bank (3,863) dan pejabat kerajaan (1,039) diperiksa.

"Selain itu, turut diperiksa sebanyak 1,070 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (218) serta terminal pengangkutan udara (120)," katanya lagi.

Dalam Operasi Benteng pula jelasnya, 79 sekatan jalan raya telah dilakukan melibatkan 27,379 kenderaan diperiksa.

Katanya, pada Khamis, seramai 83 orang pendatang tanpa izin (PATI), seorang tekong dan seorang penyeludup ditahan.

Ismail Sabri turut memberitahu, sebanyak lima kenderaaan darat dan sebuah bot dirampas dalam operasi yang dijalankan pada Khamis.

Beliau juga memaklumkan sehingga 3 September 2020, seramai 22,252 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 8,985 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 66 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 13,201 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang.