Ingkar SOP: Kronologi kes Neelofa dari hari nikah hingga dikompaun RM60,000

Astro Awani
April 27, 2021 06:48 MYT
Neelofa terima dengan hati terbuka susulan tindakan polis mengenakan kompaun RM60,000 ke atas beliau, suami dan 20 ahli keluarganya. - Foto pengurusan Neelofa
KUALA LUMPUR : Rentetan kisah 'hangat' yang melanda selebriti dan usahawan Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Haris Ismail atau dikenali sebagai PU Riz sejak hari pernikahan mereka disebut-sebut ramai hingga ke hari ini.
Semuanya gara-gara majlis pasangan berkenaan yang dilihat berlangsung tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19, kerana tersebar beberapa gambar yang menunjukkan adanya pelanggaran peraturan penjarakan fizikal.
Warga maya mula menularkan bukti itu di media sosial sekali gus membuatkan pihak berkuasa bertindak berdasarkan aduan yang diterima.
Genap sebulan sejak hari mereka disatukan di pelaminan, hari ini Neelofa bersama suami dan 20 ahli keluarga lain dikenakan kompaun sebanyak RM60,000 kerana didapati bersalah mengingkari SOP tersebut.
Berikut adalah kronologi kejadian yang melibatkan kedua-dua personaliti tersebut:
27 MAC 2021: Neelofa-Haris Ismail disatukan
Majlis pernikahan dan perkahwinan Neelofa dan Haris yang penuh gilang-gemilang diadakan secara tertutup di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, dengan kedatangan tetamu-tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga dan teman rapat kedua-dua pasangan.
28 MAC 2021: Polis siasat majlis pernikahan Neelofa
Polis membuka kertas siasatan dan akan memanggil penganjur serta pihak hotel bagi majlis pernikahan Neelofa berkaitan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP). Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata, kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
30 MAC 2021: Pengurus acara, pembantu peribadi Neelofa beri keterangan
Pengurus majlis pernikahan usahawan dan pengacara terkenal, Neelofa hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini bagi memberi keterangan berhubung isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam acara itu pada Sabtu lalu. Pemilik syarikat Reka Teemor, Faiz Sabari dan isterinya, Rozana Mumtaz tiba sekitar pukul 11.40 pagi.
31 MAC 2021: Bukan berbulan madu, Chatime sahkan Neelofa ke Langkawi atas urusan kerja
Pembekal makanan dan minuman terkemuka, Chatime Malaysia Sdn Bhd tampil menjelaskan kekeliruan berhubung kontroversi mengaitkan Neelofa dan suaminya, Haris Ismail atau PU Riz, yang didakwa sedang berbulan madu di Pulau Langkawi.
4 APRIL 2021: Neelofa, PU Riz akan dipanggil polis sebaik sahaja pulang dari Langkawi - KPN
Neelofa dan suami akan dipanggil pihak polis sebaik sahaja tiba dari Pulau Langkawi bagi proses merekodkan keterangan susulan dakwaan wujudnya pelanggaran terhadap kebenaran rentas negeri yang diberikan kepada pasangan itu, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
1 APRIL: "Bertenang di luar sana..." - Mesej Neelofa dari Langkawi
Ketika seluruh masyarakat membincangkan kontroversi perjalanannya merentas negeri menuju Pulau Langkawi, Neelofa tampil menjelaskan situasi sebenar. Dalam hantaran di IG Story, Neelofa memberi bayangan bahawa kunjungannya ke pulau percutian itu bersama suaminya atas urusan perniagaan.
9 APRIL 2021: Neelofa mohon maaf menerusi video
Neelofa memohon maaf secara terbuka kerana melanggar prosedur standard operasi (SOP) pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam penganjuran majlis pernikahannya.
13 APRIL: Polis cadang Neelofa dikompaun
Polis menyerahkan kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut berhubung majlis perkahwinan pasangan itu yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
17 APRIL 2021: Kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara
Polis akan melengkapkan kertas siasatan berkaitan kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di majlis perkahwinan Neelofa dan Haris Ismail, sebelum dihantar ke Pejabat Peguam Negara minggu berikutnya, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah. Ia selepas pihaknya menerima arahan bagi melengkapkan beberapa perkara dalam kertas siasatan sebelum dihantar semula.
20 APRIL 2021: Kertas siasatan kes Neelofa, PU Riz diserah semula kepada TPR
Kertas siasatan membabitkan Neelofa dan Haris Ismail berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) telah diserahkan semula kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
27 APRIL 2021: Ingkar SOP: Neelofa, keluarga dikompaun RM60,000
Neelofa bersama suami dan 20 ahli keluarga lain dikenakan kompaun sebanyak RM60,000 kerana melangggar prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di majlis perkahwinan serta merentas negeri.
27 APRIL 2021: Dikompaun RM60,000, Neelofa terima dengan hati terbuka
Neelofa menerima dengan hati yang terbuka tindakan polis mengenakan kompaun berjumlah RM60,000 ke atas beliau, suami dan 20 ahli keluarganya yang lain kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di majlis perkahwinan serta merentas negeri.
#Neelofa #PU Riz #ingkar SOP #COVID-19 #pandemik #Majlis Pernikahan #saman #Neelofa RM60 000 #kompaun Neelofa #Neelofa PU Riz kompaun #langgar SOP PKPB #PKPB