Semua segmen kereta mempunyai kesulitan mereka yang tesendiri, dan bagi segmen B, kerumitannya mungkin lebih kritikal berbanding yang lain. Ini kerana perkara penting yang perlu difikirkan adalah mengenai faktor harga. Sebab saiznya yang kecil pengguna secara sedar atau tidak mahukan harga yang seumpamanya.
Pada masa sama, kos itu sendiri tidak seharusnya membataskan apa yang pihak pengeluar perlu sertakan di dalam pakej produk itu, termasuk saiz kabin. Contoh: kereta pandu uji Ford Fiesta ini sememangnya cukup besar untuk kegunaan seharian ramai orang, tetapi anda juga boleh dengan mudah mendapat saiz yang sama – ataupun lebih besar – pada harga yang lebih murah.
Bezanya, Ford Fiesta ini dapat membekalkan sofistikasi yang tidak dapat diberi model-model seperti Myvi ataupun Mitsubishi Attrage; dan juga kelincahan yang tidak mungkin Toyota Vios ataupun Honda City bentangkan.
Ford jelas tampil dengan rekaan yang lebih kontemporari tanpa perlu melebih-lebih dalam rekaan lampu dan sebagainya. Fiesta di sini adalah selepas facelift, dan seperti dahulunya, terdapat juga di dalam bentuk sedan (dinamakan Titanium). Walaupun varian itu tiada cacat dari segi rupa, hatchback (Sport) ini ternyata yang lebih kacak.
Serentak dengan langkah kemaskini Fiesta, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) juga telah menyelaras varian-varian yang ada. Sekarang, model ini hanya boleh didapati dalam dua pilihan enjin baharu – 1.5 liter (seperti kereta pandu uji di sini) dan 1.0 liter Ecoboost (sesi pandu uji sedang diusahakan). Dan jika Ford Fiesta ini pada awalnya antara yang menjadi tumpuan peminat kereta dengan kotak gear manual tegar, kini ia hanya dilengkapkan dengan transmisi Powershift 6-kelajuan.
Walaupun dengan rekabentuk yang menonjolkan semangat dinamik, anda perlu ingat bahawa enjin 4 silinder ini tidaklah ditala untuk menyuapkan asap ke muka pemandu-pemandu lain. Anda perlu bersikap ganas dengan pendikit untuk benar-benar memerah semua 110hp kuasanya. Dalam kata lain, sifat sebenarnya bukan diertikan oleh potensi enjin yang ada.
Sebaliknya, asas kereta ini ialah sebagai sebuah jentera yang cekap dalam pelbagai cara, tetapi tidak hebat di dalam sesuatu yang khusus. Dari segi kualiti pemanduan, keselesaan dan penggunaan petrol, Ford Fiesta tidak mungkin akan mendukacitakan sesiapapun.
Bagi penulis sendiri, kotak transmisi terasa berlembut bila menukar gear, tidak seperti apa yang mungkin diharapkan oleh mereka yang sudah biasa dengan kotak-kotak klac berkembar sepertinya (contoh: DSG, S Tronic). Tetapi, penukaran gear tetap berlaku secara lancar. Dan berbanding sebelum ini, pemandu boleh memilih untuk menukar gear secara manual menggunakan butang + dan – yang ada di tepi tombol gear seperti yang tersedia di dalam Ford Focus.
Ruang kabin tidak berubah dan, seperti di dalam Fiesta versi sebelumnya, mempunyai jumlah butang yang terlalu banyak beserta susun atur yang mengelirukan. Sebagai contoh, ketika memandu adalah mustahil untuk programkan stesen radio yang baru tanpa mengalihkan pandangan dari jalanraya.
Tetapi, sistem SYNC Ford itu sendiri merupakan satu fungsi yang hebat dan walaupun merangkumi satu skop yang nipis,teknologi sepertinya tidak terdapat pada saingan-saingan Fiesta.
Dengan harga RM87,001.50, Ford Fiesta 1.5 liter Ti-VCT ialah sebuah produk yang bagus; memberikan prestasi yang memadai dari segi keselesaan, rekaan dan keselamatan (ESP, traction control dan Hill Launch Assist – yang mengelakkan kereta mengundur bila brek dilepas sewaktu berhenti di bukit – semua dipasang standard).
Sewaktu pemanduan Drebar, bacaan penggunaan petrol yang kami dapat daripada Ford Fiesta ini adalah 8.1 liter bagi setiap 100km. Ini lebih kurang 450km daripada satu tangki penuh (43 liter).
- Ahmad ‘Cimatt’ Zulizwan
Model | Ford Fiesta 1.5 liter Sport | |||||
Enjin | 1498cc, 4-silinder sebaris | |||||
Gear | 6-kelajuan Powershift | |||||
Pacuan | FWD | |||||
Prestasi | 110bhp @ 6,300rpm, 140Nm @ 4,400rpm | |||||
Keselamatan | Beg udara hadapan, ESP, Emergency Brake Assist, Hill Launch Assist | |||||
Harga | RM87,001.50 |